Nurina Norman sumbang lukisan RM60,000, Syed Saddiq lelong demi pendidikan anak Muar

Iklan

APABILA berbicara tentang seni, yang tergambar di fikiran kita ialah kanvas, potret indah atau galeri bertaraf antarabangsa. Namun hakikatnya, seni tidak sekadar menghiasi dinding atau tatapan mata.

Ia boleh menjadi jambatan yang menghubungkan jiwa, harapan dan tanggungjawab sosial. Inilah yang cuba dipersembahkan melalui Opera d’Arte by Nurina Norman menerusi pameran seni halus eksklusif bertajuk UTOPIA.

Iklan
Iklan

Kolaborasi kreatif bersama Universiti Malaya (UM) membuka lembaran baharu dalam dunia seni kontemporari tanah air.

Iklan

Datin Wira Nurina Norman, 40, mengakui perjalanan seninya bukan bermula sejak kecil, sebaliknya muncul selepas bergelar ibu. Pandemik Covid-19 menjadi titik tolak.

Ketika dunia terhenti, beliau mula mengisi masa di rumah dengan aktiviti melukis bersama anak-anak.

Iklan

Bermula daripada kanvas kecil, lama-kelamaan dirinya jatuh cinta pada seni sehingga berani bereksperimen dengan kanvas berskala besar.

Menariknya, anak bongsunya yang berusia empat tahun sering berada di sisi ketika ibunya melukis. Malah beberapa karya turut diinspirasikan daripada imaginasi si kecil itu.

“Saya mahu anak-anak membesar dalam suasana yang menghargai seni. Kalau mereka teruskan nanti, biarlah bermula daripada saya,” katanya.

Bagi Nurina, setiap warna juga membawa energi tersendiri. Kuning merangsang kreativiti, merah melambangkan cinta serta mampu meningkatkan semangat, manakala biru memberi kesan tenang.

Beliau percaya, penggunaan warna-warna terang bukan sekadar cantik dipandang, tetapi boleh mempengaruhi emosi dan memberi manfaat kepada manusia.

“Melalui karya bersaiz besar, saya mahu orang ramai merasai sendiri keistimewaan warna. Apabila kita menyerap energi daripada warna, ia membantu mengurangkan tekanan dan menenangkan fikiran,” jelasnya.

Salah satu karya paling mencabar baginya ialah lukisan berasaskan warna violet menggunakan teknik ink art.

Prosesnya mengambil masa hampir sebulan kerana setiap lapisan cat perlu kering sempurna sebelum ditindih warna seterusnya.

Malah tuan punya badan turut mengakui, setiap goresan berwarna bukan sekadar lukisan, tetapi cerminan nilai hidup, kasih sayang dan tanggungjawab kepada sesama manusia.

Apabila seni berjaya menyentuh hati dan memberi manfaat, barulah ia benar-benar hidup, bukan sekadar hiasan, tetapi inspirasi untuk terus berbuat baik.

"Opera d’Arte melalui UTOPIA tidak hanya mempersembahkan karya kontemporari yang indah, tetapi juga menyulam harapan agar seni dilihat sebagai medium menyatukan masyarakat," tegasnya.

Kongsi wanita cantik manis itu lagi, UTOPIA bukan sekadar pameran biasa. Ia disusun berasaskan falsafah dan pendekatan pelukis dalam menyelami idealisme manusia terhadap dunia yang lebih harmoni.

Dibuka secara percuma kepada orang ramai dari 18 Ogos hingga 20 September 2025, pameran tersebut turut menawarkan wacana seni, bengkel kreatif dan lawatan berpandu.

Golongan pelajar, penggiat seni, pengumpul karya malah orang awam dialu-alukan hadir bagi merasai sendiri pengalaman seni kontemporari. Nurina mahu membuktikan seni tidak eksklusif kepada kelompok tertentu, sebaliknya boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.

WADAH KEBAJIKAN

Lebih bermakna, Nurina turut menjadikan seni sebagai wadah kebajikan. Beliau berganding dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi mengangkat seni sebagai platform pendidikan.

Sebanyak 20 peratus hasil jualan lukisan akan disalurkan untuk dana pendidikan di Muar.

Selain itu, dua karya berskala besar bernilai hampir RM60,000 disumbangkan untuk dilelong dan hasilnya disalurkan terus kepada pelajar yang memerlukan.

“Kolaborasi ini bukan kerana persahabatan semata-mata, tetapi lahir daripada keikhlasan hati untuk menyumbang.

Saya mahu membuktikan seni boleh menjadi medium kebajikan, pendidikan dan perubahan sosial,” ujarnya penuh semangat.