PELAKON dan pengarah, Liyana Jasmay, tampil tenang berdepan komen netizen mengenai fizikal matanya yang kelihatan redup sehingga ada yang menyifatkannya seperti tidak bermaya.
Menurut aktres berusia 36 tahun itu, keadaan tersebut merupakan ciri semula jadi dirinya dan bukan berpunca daripada faktor luar seperti keletihan mahupun pengambilan bahan terlarang.
“Tak tahulah kenapa mata ini. Dah memang mata saya macam ni, tak tahu nak komen apa,” katanya ketika ditemui di majlis pengumuman Pengacara, Penyampai & Persembahan Artis bagi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menariknya, ujar bintang filem Papadom itu, situasi sama turut dilalui oleh beberapa peminatdan berkongsi pengalaman memiliki mata yang hampir serupa, malah ada yang sering disalah anggap kelihatan mengantuk.
“Ada sahaja orang cakap mereka juga memiliki mata seperti saya… ada kata nampak macam mengantuklah. Jadi apabila ramai yang mempunyai mata sama seperti ini, saya okay saja,” ujarnya.
Walaupun topik itu menjadi bahan bualan di media sosial, Liyana menganggap ia sebahagian daripada lumrah sebagai selebriti.
“Saya okay sajalah perkara viral selagi orang masih bercakap mengenai diri saya. Daripada mereka tak cakap langsung, rasa seperti sudah sendu,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai pengarah filem, publisiti dalam apa jua bentuk tetap penting bagi memastikan karya yang dihasilkan mendapat perhatian khalayak.
Malah dalam masa sama, ibu kepada dua orang puteri itu melihat ia sebagai ruang mendekati generasi muda.
“Semua berita buruk masih lagi dianggap sebagai satu berita. Saya tidak kisah kalau viral cara itu. Selagi masih menjadi perhatian netizen, ada benda yang dikongsikan kepada masyarakat itu adalah baik untuk saya
“Sekarang ini kalau jadi pengarah bukan saja mengarah, anda perlu popular juga. Kalau tidak orang tak pergi tengok filem kita,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video ketika Liyana sedang menikmati makanan di Jakarta. Ekspresi wajahnya dalam rakaman tersebut menjadi bahan gurauan netizen sehingga ada yang membuat spekulasi tidak tepat mengenai dirinya.