INKUES kematian Zara Qairina Mahathir memasuki ketiga menyaksikan saksi ketujuh, Dr Logaraj Ratha, yang menjalani latihan luar kampus di Jabatan Perubatan Forensik (Mortuari) Hospital Queen Elizabeth (HQE) memberikan kenyataan kepada Mahkamah Koroner.
Memetik Awani, mahkamah diberitahu ibu Zara, Noraidah Lamat, tetap enggan membenarkan proses bedah siasat dijalankan ke atas jenazah arwah meskipun kepentingan prosedur itu telah dijelaskan beberapa kali kepadanya.
Pegawai perubatan, Dr Logaraj 35, berkata, beliau bertemu dengan iNoraidah Lamat, pada petang 17 Julai lalu bersama kakak iparnya, Nur Shira Abdullah untuk menerangkan mengenai prosedur berkenaan.
Difahamkan, ketika pertemuan itu, Noraidah berada dalam keadaan tenang, boleh menjawab soalan dengan jelas dan sedar akan masa, tempat dan individu sekeliling.
“Walaupun Borang POL61 tidak dikeluarkan polis, proses bedah siasat klinikal masih boleh dilakukan dengan persetujuan waris terdekat.
"Namun, Puan Noraidah tetap memutuskan untuk tidak membenarkan bedah siasat dijalankan walaupun penjelasan diberi sebanyak dua kali.
“Semasa dia menandatangani borang akuan enggan bedah siasat, saya turut menerangkan kepentingan prosedur itu.
"Puan Noraidah menyatakan sudah memaklumkan kepada polis mengenai keputusannya, manakala Puan Nur Shira juga bersetuju,” katanya.
Dalam keterangan yang sama, Dr Logaraj memaklumkan, beliau menerima jenazah Zara Qairina selepas pelajar itu meninggal dunia kira-kira jam 5 petang 17 Julai lalu dan turut menjelaskan bahawa borang akuan enggan bedah siasat menyatakan keluarga tidak mengesyaki wujud unsur jenayah dalam kematian arwah.
Katanya, pada hari sama, Noraidah memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung kematian anaknya tetapi enggan memberikan salinan laporan itu kepada Jabatan Forensik.
Media sebelum ini melaporkan, laporan polis dibuat selepas beliau mendapati kesan lebam pada bahagian belakang badan anaknya.
Dalam prosiding itu, Dr Logaraj turut memaklumkan, polis tidak mengeluarkan Borang POL61 selepas mendapat maklumat punca kematian daripada pegawai perubatan Neurosurgeri, Dr Pavankumar Balachandran, yang mengesahkan Zara meninggal dunia akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.
“Inspektor Wong Yew Zhung memberitahu saya selepas berbincang dengan pegawai atasan, pihak polis memutuskan tidak akan mengeluarkan Borang POL61.
"Hospital seterusnya dibenarkan menyerahkan jenazah kepada keluarga tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal,” jelasnya.
Prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina masih diteruskan.
Imbas kembali, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Sumber: Awani