'Zara dituduh mencuri, RM300 & kad bank dalam beg sekolah' - Pengawal keselamatan dedah warden arah dua pelajar cuci kesan darah
PROSIDING inkues Zara Qairina Mahathir memasuki minggu kedua terus menjadi perhatian.
Memasuki hari ketujuh pada Jumaat, saksi keenam terus mendedahkan beberapa fakta berkaitan penemuan Zara Qairina di lokasi kejadian.
Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner terdapat cakap-cakap dalam kalangan pelajar sekolah yang mendakwa Zara Qairina Mahathir mencuri wang rakannya, sebelum kematian pelajar tingkatan satu itu.
Berikut fakta berkaitan inkues yang dilaporkan:
1-Linah menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri berkata beliau hanya mendengar ‘cerita curi’ itu daripada pelajar-pelajar sekolah berkenaan selepas kejadian malang berkenaan.
Shahlan: Untuk kejadian kes Zara ini, ada puan dengar apa-apa cerita di sekolah daripada budak-budak?
Linah: Selepas kejadian itu, memang ada dengar… budak-budak cakap, disebutnya Zara ini dituduh mencuri.
2-Kata Linah, seorang pelajar perempuan, dikenali sebagai A, menemuinya di kawasan jemuran pakaian, sehari sebelum insiden malang itu dan memberitahu wang berjumlah RM300 serta kad bank di dalam beg sekolahnya telah hilang.

3-"Pelajar A tidak menyebut siapa yang dia tuduh. Selepas kejadian, barulah saya dengar… rupa-rupanya Zara dituduh mencuri duit pelajar A," katanya.
Shahlan: Puan, pelajar A ada jumpa puan pasal tuduhan curi ini?
Linah: Dia cakap, ‘aunty, duit saya hilang dalam beg sekolah’. Saya tanya kenapa tidak beritahu pengawal siang hari, dia jawab dia diam sahaja. Kemudian saya tanya berapa banyak duit hilang, dia kata RM300 dengan kad bank sekali. Saya tanya lagi, kenapa bawa duit banyak, sepatutnya simpan dengan guru… tapi dia tidak cakap siapa yang curi. Apabila ditanya, kenapa hanya Zara Qairina yang dituduh, Linah menjawab "saya tidak tahu”.
4-Linah berkata, pelajar A mengadu perkara itu kepada pelajar Tingkatan Empat kerana semua bilik yang dihuni pelajar-pelajar Tingkatan Satu di aras tiga bangunan asrama itu, adalah di bawah jagaan pelajar tingkatan empat.
5-Saksi itu berkata, dia tidak tahu apa yang dilakukan pelajar Tingkatan Empat selepas wujudnya tuduhan curi itu, namun saksi tidak menolak kemungkinan pelajar tingkatan empat memanggil Zara Qairina untuk bertanya mengenai perkara berkenaan.
6-Menceritakan lebih lanjut, Linah berkata, perkara itu kemudian diketahui seorang warden lelaki menerusi ketua dorm Zara Qairina, yang juga pelajar Tingkatan Empat.
7-Tambah Linah, dia tidak pernah mendengar cerita lain mengenai Zara Qairina, selain tuduhan curi.
8-Dalam pada itu, memetik Buletin TV3, Linah turut memaklumkan dua pelajar berusia 16 tahun diarahkan oleh warden untuk membersihkan tompokan darah di lokasi tempat arwah diletakkan selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

9-Linah juga memaklumkan warden berkenaan memintanya memadam gambar yang diambil ketika pertama kali Zara Qairina ditemukan kerana bimbang ia akan tersebar jika pelajar lain meminjam telefon.
10-Terdahulu, Linah merupakan Pengawal Keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar sejak 2012 memaklumkan kepada mahkamah bahawa remaja menarik dan menghembus nafas dengan kuat seolah-olah sedang 'berdengkur'.
11-Ibu kepada empat anak itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada hari ketujuh prosiding inkues berhubung kematian remaja berkenaan.
Shahlan: Apabila puan panggil Zara, adakah dia memberi sebarang respons?
"Dia macam tidur berdengkur.. dia dalam keadaan terlentang, kasihan dia,” cerita Linah dengan nada sedih di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
12-Linah turut memberitahu bahawa mangsa yang dijumpai dalam keadaan terlentang di longkang tidak memakai kasut atau tudung.
13-Kongsinya, Zara berkenaan kemudiannya dialihkan oleh Ketua Warden Asrama, Azhari Abd Sagap bersama tiga pelajar senior dari lokasi kejadian ke bahagian hadapan asrama, iaitu di hadapan rumah warden, sementara menunggu ketibaan ambulans.

14-Difahamkan, dan beberapa guru wanita juga ada bersama dan hampir sejam kerana ambulans lambat sampai.
15-Linah berkata, ketika Zara Qairina dialihkan ke dalam ambulans, terdapat banyak titisan darah keluar dari kaki kiri mangsa selain tulang kakinya yang terkeluar.
Imbas kembali kejadian tragis, Zara Qairina, 13, dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Sumber: Bernama via Sinar Harian, Buletin TV3
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
