Inkues Zara Qairina: Nama, alamat & nombor telefon saksi pelajar tersebar di TikTok, prosiding ditangguh

Iklan

PROSIDING inkues kematian Zara Qairina Mahathir, 13, yang sepatutnya mendengar keterangan saksi dalam kalangan pelajar pada petang ini ditangguhkan ke Isnin depan berikutan penyebaran maklumat peribadi saksi di media sosial.

Tidak sekadar itu, difahamkan maklumat sulit berupa keterangan saksi juga tersebar.

Iklan
Iklan

Menurut peguam yang mewakili salah seorang pelajar tersebut, Datuk Ram Singh memberitahu, maklumat berkenaan yang terdedah kepada umum menerusi aplikasi TikTok merangkumi butiran penuh saksi tersebut seperti nama penuh, alamat dan nombor telefon.

“Laporan pihak polis akan dibuat dalam masa terdekat oleh pihak kami.

Iklan

“Orang yang tidak bertanggungjawab itu juga telah mendedahkan penerangan bertulis saksi dua perenggan pertama dan perenggan terakhir serta muka surat tandatangan terakhir.

"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, ini satu bentuk intimidasi. Pegawai pendakwa juga memaklumkan perkara ini akan disiasat.

Iklan

"Saya turut bersimpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka perlu melalui keadaan ini," katanya.

Lapor Awani, Koroner Amir Shah Amir Hassan meluahkan rasa kekecewaan terhadap kebocoran maklumat berkenaan kerana ia menyebabkan gangguan dan penangguhan terhadap prosiding yang sudah memasuki hari ke-10.

Katanya, prosiding pada Isnin ini akan dijalankan secara tertutup membabitkan saksi bawah umur itu yang akan ditempatkan di bilik saksi.

Bagi prosiding secara tertutup mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, saksi akan berada di bilik khas, dibantu seorang jurubahasa dan seorang 'pendamping' pilihan mereka.

"Namun, pendamping ini tidak boleh daripada individu yang berpotensi menjadi saksi. Jika dia berpotensi menjadi saksi, maka individu lain perlu dilantik, sebaiknya daripada kalangan waris terdekat.

"Dari segi susunan tempat duduk, kanak-kanak itu akan berada di hadapan kamera, manakala pendamping di belakang tetapi masih kelihatan dalam rakaman kamera," katanya.

Mahkamah Koroner juga membenarkan pegawai undang-undang daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Sabah Law Society untuk turut hadir dalam prosiding itu.

Sumber: Astro Awani