Dituduh mencela, guna kata kesat terhadap Zara Qairina di asrama, 5 pelajar mengaku tidak salah - Mahkamah perintah lindungi identiti, maklumat
GENAP 34 hari pemergian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, lima pelajar telah didakwa dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, pada Rabu.
Lapor Sinar Harian, kelima-lima mereka yang berusia di bawah 18 tahun menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina yang mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan Allahyarham berasa terganggu dengannya.
Menurut pertuduhan, pelajar berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan W.D.T 15, Papar, pada 15 Julai lalu kira-kira 10 malam sehingga 11 malam, lapor Bernama.
Bagaimanapun, kelima-lima mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan 16 Oktober pula bagi tarikh sebutan semula yang kedua.
Turut ditetapkan tarikh untuk perbicaraan kes tersebut pada 15 hingga 19 Disember depan.
Prosiding dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus bersidang untuk Mahkamah Kanak-Kanak tersebut.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.
Nor Azizah ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah memaklumkan, larangan perintah mahkamah (gag order) dimohon oleh peguam bela, Datuk Ram Singh.
Justeru, mahkamah memerintahkan larangan berkenaan berhubung pendakwaan lima remaja tersebut.

"Mahkamah menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk setiap remaja itu," katanya.
Manakala pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina turut hadir di mahkamah tersebut dan bertindak sebagai pemerhati.
Peguam yang hadir ialah Hamid Ismail Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh.
Peguam Datuk Ram Singh mewakili tertuduh pertama manakala empat lagi diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.

Sekadar info, gag order merupakan perintah larangan arahan mahkamah yang melarang mana-mana pihak daripada membuat kenyataan, komen, atau perbincangan mengenai isu tertentu.
Antara yang perlu mematuhi gag order termasuklah pihak media, pengguna media sosial, individu dan istitusi kehakiman serta peguam yang terlibat dalam kes berkenaan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan. Ia susulan pasukan peguam yang mewakili Noraidah memohon agar pendakwaan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan sementara waktu supaya dapat dipertimbangkan semula untuk mendakwa lima remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
AGC dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, berdasarkan penelitian mereka terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan itu merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Jabatan ini merujuk kepada Kenyataan Media bertarikh 19 Ogos 2025 yang dikeluarkan oleh peguam lantikan Noraida Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina, mengenai permohonan pihak peguam untuk menangguhkan pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta cadangan pertuduhan pihak peguam di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Kenyataan peguam di Perenggan 4 kepada kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Dalam hal tersebut, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara," katanya menurut kenyataan.
Sumber: Sinar Harian, 1, Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

