BARU-baru ini rakyat Malaysia diingatkan supaya menyemak cip MyKad masing-masing segera bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang membeli minyak pada harga subsidi RM1.99 seliter apabila pelaksanaan subsidi RON95 secara bersasar dilaksanakan.
Mungkin ada tidak mahu ketinggalan terus menyerbu Jabatan Pendaftaran Negara di Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi menyelesaikan urusan berkaitan MyKad, termasuk pembaharuan cip MyKad yang rosak.
Tahukah anda, tidak semua MyKad perlu diganti, hanya bahagian cip yang dikenal pasti sebagai rosak dan tidak berfungsi sahaja perlu proses tersebut.
Memetik Sinar Harian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, tiada pengeluaran MyKad baharu atau cip khas bagi tujuan menerima bantuan kerajaan.
Artikel berkaitan
- IC rosak? Ini cara mudah tukar MyKad melalui panggilan telefon, 30 minit siap!
- Ini cara betul palang MyKad. Elak disalahguna, identiti dicuri. Ada 3 jenis kad pengenalan lain di Malaysia
- IC hilang? Ini kadar denda dan prosedur permohonan MyKad online
Menurutnya, MyKad sedia ada masih sah dan boleh digunakan untuk semua urusan sekiranya masih dalam keadaan baik.
"MyKad sememangnya telah lama digunakan sebagai platform pengesahan maklumat penerima bantuan kerajaan termasuk program terkini seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off dan bakal digunakan juga untuk pengagihan subsidi RON95.
"Kekeliruan timbul apabila disebut mengenai penggantian cip kad pengenalan, ia merujuk kepada situasi cip sedia ada pada MyKad rosak dan tidak dapat dibaca ketika digunakan di premis tertentu.
"Contohnya ketika menebus barangan asas Rahmah, jika MyKad gagal dibaca, itu bermakna cip sudah rosak. Dalam keadaan itu barulah perlu hadir ke JPN untuk penggantian kad pengenalan," katanya.
Biarpun memaklumkan cip MyKad juga boleh rosak apabila digunakan terlalu lama khususnya melebihi 10 tahun, anda tidak perlu tergesa-gesa menukarnya jika kad berkenaan masih berfungsi dengan baik.
"Namun, jika baru ditukar dalam tempoh setahun atau dua tahun dan masih boleh digunakan di premis-premis tertentu, itu bermaksud cip masih dalam keadaan baik.
"Justeru, penggantian kad pengenalan hanya perlu dibuat apabila cip rosak, gagal dibaca atau berada dalam keadaan fizikal yang tidak sesuai digunakan lagi, bukan kerana wujudnya sebarang cip baharu.
"Jangan panik dan serbu JPN. Boleh ikuti semua platform media sosial JPN untuk sebarang info. Bagaimanapun, sentiasalah pastikan MyKad anda dalam keadaan baik supaya penerimaan bantuan kerajaan berjalan lancar," katanya.
TIP PENJAGAAN CIP MYKAD
1-Simpan ia dalam bekas kad.
2-Jangan bengkokkan atau lipat.
3-Elakkan terdedah kepada air atau haba tinggi.
4-Usah letak ia berdekatan dengan magnet.
5-Jauhi daripada geseran kasar.
6-Elakkan memasukkan ia kedalam mesin yang tidak dikenali seperti mesin basuh.
Sumber: Sinar Harian, JPN