PELAKON merangkap aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, mengakui telah membuat persiapan awal sekiranya bot yang dinaikinya dalam misi Global Sumud Flotilla diserang oleh rejim Isr4el.
Pemilik nama Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, juga sempat berkongsi antara tanggungjawab yang diamanahkan adalah melakukan rakaman langsung kecemasan atau SOS sebagai bukti keadaan sebenar yang berlaku.
“Apabila telefon dibuang ke laut, itu tanda saya sudah ditangkap,” katanya.
Pelakon dan usahawan berusia 35 tahun itu memaklumkan bahawa setiap sukarelawan telah diberi taklimat mengenai prosedur yang perlu dipatuhi sekiranya berdepan ancaman keselamatan.
Jelasnya, rakaman kecemasan dibuat bukan sekadar untuk menunjukkan situasi di atas bot, tetapi juga sebagai bukti bahawa kapal misi bantuan tidak membawa sebarang senjata.
“Saya akan keluar dengan memakai jaket keselamatan dan terus rakam menunjukkan bahawa bot kami tiada barangan tajam. Pisau, garpu atau apa sahaja akan dikumpulkan dan dibuang ke laut. Ini adalah misi bantuan semata-mata,” ujarnya.
Tegasnya, rakaman akan berterusan sehingga detik kritikal apabila ketua misi mengarahkan agar telefon dibuang.
“Apabila ketua arahkan ‘buang telefon kalian', saya orang terakhir akan membuang telefon. Ketika itu, rakaman secara langsung masih berjalan, memberi peluang dunia melihat siapa yang menindas siapa,” katanya.
Isteri kepada Nadzmy Adhwa itu juga turut mendedahkan fakta sayu apabila telefon bimbit itu dibuang ke laut, ia menandakan semua sukarelawan telah ditawan dan komunikasi dengan dunia luar tidak lagi dapat dilakukan.
“Selepas itu, saya serahkan semuanya kepada ALLAH SWT. Jangan fikir saya tak sanggup, sebab setiap hari kita lihat saudara kita syahid. Kalau mereka boleh, kami pun kena kuat,” katanya.
Kepada warganet, Ardell menjelaskan misi flotilla kali ini adalah tanda solidariti kepada rakyat P4lestin yang berdepan kepungan dan penindasan sejak sekian lama.
“Ini bukanlah misi yang mudah, seperti yang semua orang tahu. Tetapi ia amanah yang kami pikul demi menyampaikan mesej keamanan dan bantuan,” katanya.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu merayu orang ramai agar menyokong misi berkenaan dengan berdoa dan memberikan kesedaran berterusan mengenai situasi di G4z4.
“Jangan risau tentang kami, kami ada ALLAH SWT. Cuma saya minta kalian jangan berhenti berdoa, itu kekuatan sebenar untuk kami,” katanya.
Tutur Ardell, jika rakaman kecemasan berjaya dihantar keluar, ia akan menjadi bukti sah kezaliman rejim itu terhadap sukarelawan.
Dia turut menjelaskan, semua prosedur telah dilatih rapi bagi memastikan kebenaran dapat disampaikan kepada dunia tanpa diputar belit oleh pihak yang menindas.
Sekadar info, Misi Global Sumud Flotilla menghimpunkan aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, dengan tujuan menghantar bantuan terus kepada rakyat Palestin yang terkepung di Semenanjung Gaza.
Sumber: Sinar Harian