ANGGOTA kumpulan Elite, Abby Abadi mendedahkan dirinya berdepan demam panas ketika menjayakan ELITE LIVE ’25 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu, sebelum akhirnya dimasukkan ke hospital.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan berkata, keadaan kesihatannya mula terganggu sejak sehari sebelum konsert ketika sesi latihan di lokasi sama.
“Sehari sebelum konsert, ada sesi latihan dan selepas itu saya mula rasa tidak sedap badan. Esoknya, sebelum konsert, ada lagi sesi latihan. Masa itu badan saya semakin lain, tetapi tetap gagahkan diri kerana mahu menjayakan konsert.
Menurut pelakon berusia 47 tahun itu, selepas konsert selesai, dia segera mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan menghidap Influenza dengan suhu badan mencecah 40 darjah celsius.
“Selesai konsert, saya terus ke hospital. Rupanya Influenza. Jadi sekarang kena rehat sekejap kerana konsert pun sudah selesai,” ujarnya.
Dalam masa sama, Abby turut memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat termasuk anggota Elite, X Factor serta para penonton kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik akibat keadaan kesihatannya.
“Serius, badan rasa sangat lemah dan itu yang membuatkan saya hilang fokus. Saya mohon maaf kepada semua yang hadir. Saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” tambahnya.