PENYANYI dan pelakon, Bella Astillah, kini melakar pengalaman baharu apabila secara rasmi memulakan tugasan sebagai intern DJ untuk segmen 3 Pagi ERA bermula 22 September.
Perkara itu diumumkan melalui hantaran rasmi di Instagram ERA yang memuat naik surat tawaran khas ditujukan kepada pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah.
“Dengan sukacitanya, pihak ERA menawarkan jawatan kepada Bella Astillah sebagai intern DJ slot 3 Pagi ERA berkuat kuasa mulai 22 September 2025.
“Kami yakin bakat dan keperibadian Bella akan memberi nilai tambah kepada ERA dalam terus menghiburkan pendengar di seluruh negara. Sekiranya bersetuju, mohon hadir ke Studio ERA dan laporkan diri seawal 6 pagi bersama geng 3 Pagi ERA,” jelas kenyataan itu.
Menepati janji, penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu hadir di studio seawal pagi semalam sekali gus memulakan pengalaman sulungnya di konti bersama Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.
Lebih menarik, pada hari pertama bertugas, Bella menerima panggilan mengejut daripada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menitipkan pesanan istimewa.
Menerusi panggilan yang disiarkan secara langsung di konti dan dikongsikan di TikTok, Saddiq pada awalnya menyamar sebagai seorang pemanggil bernama Danial sebelum identitinya disedari Bella.
“Wanita cantik dan suara merdu,” usik suara yang memperkenalkan diri sebagai Danial.
“Ini bukan Danial. Ingat saya tidak kenal suara awak ke,” balas Bella sambil ketawa.
Saddiq kemudian menyampaikan pesanan ringkas buat warga kerja ERA agar menjaga Bella dengan baik. Malah, beliau sempat berseloroh bahawa ucapan itu sepatutnya dilakukan bersemuka, bukan sekadar melalui teks.
“Kepada Nabil, Azad dan Radin, tolong jagakan Bella. Ucapan kena buat depan-depan, bukan dalam teks,” katanya sambil berjenaka.
Sebelum ini, Syed Saddiq pernah dijadualkan menjadi penyampai radio ERA namun terpaksa menarik diri kerana komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.
Kehadiran Bella ke konti ERA nyata mencuri perhatian peminat yang membanjiri ruang komen media sosial dengan ucapan tahniah serta semangat buat selebriti berusia 31 tahun itu dalam lembaran baharu kariernya.