PENYANYI Ina Naim baru-baru ini tampil menjelaskan isu berkaitan peti ais dan mesin basuh yang pernah menjadi bualan hangat netizen suatu ketika dahulu.
Dalam temu bual bersama Mingguan Wanita, Ina atau nama penuhnya Nordiana Mohd Naim yang ditanya mengenai dua perkakas dapur itu tampil memberi penjelasan bagi meleraikan kekeliruan serta persepsi negatif yang pernah timbul dalam kalangan warganet.
"Peti ais memang sejak dari awal bernikah lagi tidak memilikinya. Ia tidak penting pun.
"Kami tinggal di Kelantan banyak kedai menjual sayur-sayur di tepi jalan je. Semua fresh dan ikan juga segar.
"Kami sekeluarga jenis makan, pagi masak lain, nanti malam kita orang makan kat luar.
"Kadang-kadang memang selera berbeza. Bukan makan tengah hari asam pedas sampai ke malam. Nanti malam akan ada arwah kata, jom kita makan contohnya di restoran mamak.
"Memang kita tak makan sampai perlu masuk dalam peti macam tu lah. Hari-hari makan fresh," katanya yang mendedahkan perkara itu masih dipraktikkan sehingga kini," katanya.
Anak sulungnya, Ehmad Hadie Elfardie, 17, turut mencelah mengiyakan keadaan semasa hayat bapanya yang penuh kesederhanaan.
"Benda itu (peti ais) ada tapi tidak berfungsi.
"Senang cerita hari ini kita hendak makan tom yam, kita beli je bahan-bahan tom yam dan masak. Tak payah simpan," kongsinya.
Selepas berkahwin dengan Mohd Khairul Rizal Shukor, Ina mendedahkan, peti ais dan mesin basuh dibeli lelaki itu sebagai respons terhadap kecaman yang diterima daripada orang ramai.
"Sekarang sudah ada peti ais. Sebab orang kecam jadi dia beli semua, peti ais mesin basuh, mesin pengering.
"Dia (Mohd Khairul ) rasa macam kasihan. Peti ais tu macam itulah. Benda-benda lama-lama simpan pun tak elok untuk kesihatan," kongsi Ina.
Menyentuh mengenai mesin basuh, Ina menjelaskan bahawa perkakas elektrik berkenaan sememangnya sudah dimiliki ketika beliau berkahwin dengan bekas kumpulan Inteam itu.
Namun, atas beberapa faktor tertentu termasuk memberikan mesin basuh kepada jiran yang lebih memerlukan, mereka memilih untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
"Sebenarnya kita ada mesin basuh tapi bila rumah kami dekat sangat dengan dobi, kata arwah hantar ke dobi sahaja.
"Nak kena sidai pula. Kebetulan pada masa itu jiran kami tu rosak mesin basuhnya. Saya pun cakap dengan arwah, 'Abang mesin basuh akak depan ni rosak."
'Selepas tu dia panggil Adi dan minta bersihkan mesin basuh dia berikan kepada jiran. Hadie yang angkut," kata Ina.
Warganet turut memuji keperibadian arwah Suhaimi yang dikenali sebagai seorang suami dan bapa yang mendidik keluarganya agar hidup secara sederhana serta mengutamakan amalan bersedekah kepada jiran tetangga.
Malah, ketaatan Ina terhadap arwah juga menjadi perhatian ramai.
Sekadar info, Allahyarham Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.40, malam 15 November 2023 akibat mengalami kegagalan organ susulan jangkitan kuman pada paru-paru.
Pergi pada usia 43 tahun, Suhaimi meninggalkan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 17, Salman Elkhoyri, 15, Phyrosh Elfadwah, 13, dan Nur Layla Elghufrony, 11.
Ina berkahwin buat kali kedua dengan Mohd Khairul Rizal yang merupakan seorang jurutera pada 8 November 2023.
Sumber: TikTok