INSIDEN tular membabitkan penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri baru-baru ini menerima tindakan tegas daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengesahkan bahawa pelajar terlibat telah digantung serta-merta, selain elaun mereka turut dihentikan.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Hannah memaklumkan pihaknya memandang serius insiden yang berlaku dan menegaskan bahawa sebarang perlakuan gurauan yang keterlaluan tidak boleh diterima sama sekali kerana dianggap tidak sihat dan bercanggah dengan nilai institusi pendidikan.
Susulan itu, satu siasatan telah dijalankan berhubung kes berkenaan melibatkan KBS dan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Pada 23 September 2025, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Chan Hong Jin telah mempengerusikan Jawatankuasa Siasatan Khas yang turut dihadiri oleh Puan Dalila Sharingat, Pengarah Kemahiran Bahagian Pembangunan dan Kemahiran Belia (BPKB) dan wakil-wakil dari PDRM bagi mendengar keterangan yang kemudiannya menyerahkan kepada Lembaga Tatatertib Pelajar bagi membuat pertimbangan dan keputusan.
"Walaupun tiada kecederaan serius berlaku dan hubungan antara pelajar kekal baik, KBS kekal berpendirian bahawa sebarang perlakuan gurauan keterlaluan tidak boleh dianggap remeh atau normal. Institusi pendidikan harus kekal menjadi persekitaran yang selamat, berintegriti dan membina sahsiah belia," katanya.
Menurut Hannah, pelajar yang menjadi mangsa gurauan melampau itu telah menjalani tiga kali pemeriksaan kesihatan.
Pemeriksaan klinik pertama pada 21 September 2025 mendapati mangsa tiada kecederaan serius namun mengalami tekanan emosi dan psikologi selepas kejadian.
Manakala pemeriksaan susulan yang dijalankan di klinik dan Hospital Miri pada 23 dan 24 September turut mengesahkan bahawa tiada kecederaan serius dikesan.
Susulan itu, Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN diadakan pada 24 September membincangkan tindakan yang wajar dikenakan pelajar yang terlibat.
Pendekatan tegas diambil Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri yang telah sebulat suara membuat keputusan seperti menggantung pengajian selama satu minggu dengan serta merta, menghentikan elaun pelajar serta merta.
Pelajar yang terlibat juga perlu melaksanakan kerja amal, lapor diri secara berkala dengan pegawai disiplin dan tahan outing untuk tempoh sebulan serta mengikuti sesi kaunseling kepada mangsa dan pelajar yang terlibat yang diaturkan oleh IKBN Miri.
Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan tindakan lain yang bakal diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang lagi di IKBN.
"Unit Hal Ehwal Pelajar dan tenaga pengajar IKBN Miri perlu melaksanakan pemantauan yang lebih kerap dan memberi motivasi kepada pelajar supaya mereka dapat berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan walaupun tujuan bergurau.
"Unit Hal Ehwal Pelajar hendaklah mengaturkan sesi kaunseling kepada semua pelajar yang terlibat untuk satu tempoh masa yang munasabah dengan menggunakan perkhidmatan kaunseling daripada Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Unit Hal Ehwal Pelajar melantik Pegawai Perhubungan Institut untuk melaksanakan program pencegahan keganasan dan buli bersama IPD Miri.
"Unit Hal Ehwal Pelajar mengadakan taklimat dan ceramah berhubung buli yang akan disampaikan oleh PDRM setiap suku tahun untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada pelajar.
"Unit Hal Ehwal Pelajar memperluas pelaksanaan peti aduan dan cadangan penambahbaikan di tempat yang pelajar senang akses supaya pelajar yang mengalami masalah dapat memberi aduan dengan kadar segera.
"Keputusan-keputusan ini diambil bagi memastikan ia menjadi penghalang kepada kes yang akan datang dan tiada ruang bagi perkara sebegini berlaku lagi," katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kes tersebut diklasifikasi tiada tindakan lanjut.
Menurutnya, mangsa memaklumkan itu hanyalah gurauan rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lepas.
Semoga langkah tegas itu diharap menjadi pengajaran kepada semua pelajar agar sentiasa menjaga batas dalam berinteraksi dan memastikan institusi pendidikan kekal sebagai ruang yang selamat dan berdisiplin.
Sumber: Facebook