DOA penuh romantis Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, buat tunangannya, Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz, mencuri tumpuan ramai di media sosial.
Dalam hantaran manis yang dimuat naik pada Khamis, baginda menitipkan doa agar hubungan yang bakal dibina bersama Afzaa sentiasa dilindungi Allah SWT, penuh cahaya serta berlandaskan kasih sayang.
"Saya juga doa kita nanti dikurniakan keluarga yang sihat, kuat dan hubungan kita makin kukuh dengan kasih sayang, percaya dan hormat-menghormati,” titah baginda.
Ungkapan jujur itu nyata membuat ramai tersentuh hati. Ada yang menyifatkannya seperti petikan dari novel cinta, ada pula yang kagum melihat sisi romantis Raja Muda Selangor yang jarang dipertontonkan kepada umum.
Dalam masa sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Selangor atas doa dan sokongan yang tidak putus-putus menjelang istiadat perkahwinan diraja.
“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Rakyat Selangor atas doa yang telah dipanjatkan… Sesungguhnya beta amat bersyukur atas segala ingatan dan doa tulus ikhlas tersebut terutamanya melalui majlis-majlis doa selamat yang telah diadakan di seluruh negeri Selangor,” titip baginda.
Untuk rekod, Sultan Selangor sebelum ini telah berkenan mengumumkan pernikahan Tengku Amir Shah bersama Cik Afzaa Fadini bakal berlangsung pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Majlis Persandingan Diraja serta Majlis Santapan Diraja pula akan berlangsung pada 22 Oktober 2025 di Istana Alam Shah.
Sebagai persediaan, malam tadi turut diadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di seluruh masjid negeri Selangor yang dianjurkan oleh JAIS.
Majlis utama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, menyaksikan keberangkatan Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor bersama-sama rakyat menadah doa agar semua majlis diraja berjalan lancar.
Romantis, penuh makna dan sarat dengan doa — tidak hairanlah hantaran Tengku Amir Shah ini tular serta menjadi bualan. Ramai mendoakan pasangan diraja ini terus bahagia hingga ke Jannah.