USAHAWAN sensasi, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli, sempat meluangkan masa menziarahi penerbit terkenal, Datuk A. Aida yang kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Menerusi sebuah video pendek yang dikongsikan di media sosial, Kak KM bersama kakaknya, Lydia Rosli dilihat hadir menziarahi penerbit itu yang sebelum ini dilaporkan rebah ketika menjalani sesi fisioterapi di sebuah hospital swasta.
Dalam pertemuan tersebut, suasana mesra jelas terpancar apabila Kak KM sempat mencium tangan dan pipi A. Aida sambil mengucapkan terima kasih kerana menerima kunjungan mereka.
“Datuk, rehat ya. Terima kasih sebab terima kita sebagai tetamu. Datuk pilih tau, dia bukan terima semua tetamu,” ujar Kak KM sambil disambut senyuman A. Aida yang membalas, “Terima kasih datang.”
Anak kepada aktres Normah Damanhuri itu juga tidak ketinggalan menyampaikan rasa sayangnya kepada penerbit dan pelakon itu selain berpesan agar wanita tersebut menjaga diri sepanjang proses pemulihan.
Walaupun dalam keadaan kurang sihat, A. Aida tetap menerima kunjungan dengan mesra dan masih kelihatan cantik seperti biasa. Malah, kedua-duanya sempat berbual mesra serta merancang percutian bersama ke Janda Baik selepas A. Aida kembali pulih.
“Nanti kita cuti sama-sama ke Janda Baik…” ujar A. Aida ringkas.
Terdahulu, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, dilaporkan rebah selepas menjalani sesi fisioterapi di sebuah hospital swasta, Khamis lalu.
Selepas empat hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat komplikasi susulan pembedahan lutut, beliau kini dipindahkan ke wad biasa dan berada dalam keadaan stabil.