‘Alhamdulillah kapal Ardell masih selamat’- Netizen tiup kata-kata semangat buat Nadzmi Adhwa

Iklan

PELAKON dan usahawan, Nadzmi Adhwa meluahkan kebimbangan terhadap keadaan isterinya, Ardell Aryana yang kini berada di atas kapal Mikeno, salah sebuah bot dalam konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke G4z4.

Menerusi hantaran di Thread, Nadzmi atau nama penuhnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 32, berkongsi rasa gelisah selepas kali terakhir menerima isyarat kecemasan (SOS) daripada isterinya pada waktu subuh tadi.

Iklan
Iklan

“Sejak selepas live SOS Ardell tadi subuh hingga sekarang, ada sesiapa dapat apa-apa update tentang isteri saya? Sebab saya masih dalam kebingungan ini.

"Jantung aku tidak pernah selaju ini,” tulisnya ringkas.

Iklan

Luahan tersebut nyata mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut sama mengikuti perkembangan konvoi berkenaan. Ramai yang menzahirkan doa serta meniup kata-kata semangat buat pelakon 29 Februari itu agar kekal kuat menanti khabar baik.

Setakat 11.30 pagi waktu Malaysia, status kapal di Flotilla Tracker menunjukkan Mikeno masih lagi belayar, cuma tidak dapat dihubungi.

Iklan

Menerusi ruangan komen, seorang warga maya memaklumkan kapal yang dinaiki Ardell masih selamat, namun sedang berdepan cabaran di tengah laut.

“Tadi live TikTok pejuang Sumud Nusantara cakap kapal Ardell masih selamat," tulisnya.

Ada juga yang berkongsi maklumat bahawa layar kapal tersebut mengalami kerosakan selepas diserang pancutan air tentera Zionis sekitar jam 5 pagi waktu Malaysia.

“Alhamdulillah kapal Ardell masih selamat, cuma layar patah sebab kena serang dengan air Isr4el pagi tadi. Kapal masih bergerak tetapi perlahan,” tulis seorang lagi.

Terdahulu, Ardell bersama lebih 30 aktivis kemanusiaan Malaysia menyertai misi GSF yang berlayar menuju ke G4z4 dengan membawa bantuan. Ketika ini, bot Mikeno yang dinaikinya masih dilaporkan dalam status belayar.

Setakat ini, Zizi Kirana dan Musa Nuwayri disahkan sudah ditahan tentera Israel.

Setakat jam 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC selepas kapal mereka dipintas.

Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma; serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.

Empat lagi ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio, selain Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Grande Blu dipintas pada jam 12.58 tengah malam waktu G4z4, manakala Hio pada jam 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari G4z4.

SNCC memaklumkan setakat ini, sepuluh kapal berada pada status 'diserang' manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat 'kecemasan'.