BEKAS pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah menerusi sesi live bersama SinarPlus pada Khamis mendedahkan masih tidak menerima perkembangan suaminya, Mohd Zulfadhli Khiruddin.
"Sehingga petang 2 Oktober masih belum menerima perkembangan, keberadaan dan keadaan suami. Saya tidak mendapat info dari sesiapa tetapi menerima arahan daripada Pusat Kawalan Sumud Nusantara untuk berkumpul," kongsinya.
Saat suami ditahan, ibu kepada lima cahaya mata itu menyifatkan, penahanan suaminya yang tersayang hanyalah sekelumit ujian berbanding rakyat G4z4 yang setiap hari terpaksa berhadapan perpisahan dan kehilangan ahli keluarga.
Dalam nada sayu, bekas pengacara Nasi Lemak Kopi O mendedahkan suaminya, Mohd Zulfadhli sempat memberi pesanan yang tidak disangka.
"Suami pernah share satu perkara, saya tidak pasti ia sekadar gurauan atau sebaliknya. Tiga hari lepas dia meninggalkan pesanan.
"Dia berpesan jika sesuatu berlaku kepadanya, dia meminta saya menjaga umi, abahnya, adik-adik dan anak-anak kami.
"Saya tertanya-tanya perlakuannya itu. Tidak pernah dia berbuat demikian, ala-ala wasiat.
"Saya tanya kenapa dia tiba-tiba sahaja, sudah tentu saya akan jaga keluarganya. Saya katakan kepada suami, awak kena balik dan selamat," katanya.
Pada masa sama, pemilik nama penuh, Haryati Hamzah, itu turut menitipkan pesanan buat suami kesayangannya itu supaya sentiasa mengingati ALLAH sepanjang misi tersebut.
“Saya selalu ingatkan dia untuk berzikir, baca ayat al-Quran dan surah Yasin ayat kesembilan. Rutin itu jangan pernah tinggal, setiap hari kena baca.
“Malah, saya juga meminta dia ‘renew’ niat ke sana setiap hari supaya ingat apa tujuan asal dia ke sana.
"Selain itu, saya minta suami jangan rasa diri wira atau penyelamat sebab ada perhatian seluruh dunia. Misi ini untuk Gaza dan jangan terbuai dengan benda duniawi,” ujar wanita tabah berusia 45 tahun itu lagi.
Mengakhiri sesi live, pelakon Impak Maksima itu sempat memohon doa orang ramai dan meminta perkongsian mengenai keadaan yang berlaku di P4lestin biarpun dia sendiri pernah kehilangan dua akaun TikTok dan dua akain Instagram akibat perkongsian penderitaan rakyat di bumi barakah itu.
"Jangan sesekali kalian berhenti bercakap apa yang terjadi di sana. Jangan berhenti kongsi mengenai mereka. Ia bukan peperangan sebaliknya genosid iaitu pembunuhan beramai-ramai dengan tujuan pembersihan etnik orang P4lestin.
"Jangan berhenti, teruskan dengan berhati-hati. Walaupun dua akaun TikTok dan Instagram hilang, ia tidak melemahkan semangat saya.
"Teruskan berkongsi. Jika ada rezeki lebih beri sumbangan dan teruskan usaha boikot jenama yang menyumbang kepada mereka," kongsinya.
Terdahulu, wanita bersemangat kental itu mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas bagi mendesak Isr4el segera membebaskan suaminya.
Sekadar info, Mohd Zulfadhli antara 12 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Isr4el ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke G4z4, tengah malam tadi.