SUKARELAWAN Malaysia, Nadir Al-Nuri mengesahkan bahawa para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Isr4el mula tiba di pelabuhan Ashdod, Isr4el pada Khamis.
Pemilik nama Ketua Pegawai Eksekutif Cinta G4z4 Malaysia itu, yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata, barisan peguam GSF telah mula menghubungi mereka untuk memberikan khidmat guaman susulan penahanan berkenaan.
"Insya-ALLAH, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman.
"Paling awal, esok pagi kami akan kongsikan perkembangan mereka. Sementara itu, teruskan aksi!” katanya menerusi Facebook.
Nadir Al-Nuri bersama tiga sukarelawan Malaysia lain masih berada di perairan Laut Mediterranean, menaiki Jong Melayu yang berperanan sebagai kapal pemantau.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa seramai 23 warga Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi kemanusiaan bawah inisiatif GSF berada dalam keadaan sihat dan selamat. Mereka dijadualkan pulang ke tanah air melalui sebuah negara ketiga.
Mereka ialah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
Dalam perkembangan berkaitan, lima peguam yang juga aktivis hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan layanan terhadap delegasi negara yang ditahan rejim Isr4el dalam konvoi GSF berjalan secara adil dan telus.
Mereka terdiri daripada Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Pasukan guaman tersebut akan mewakili delegasi Malaysia yang ditahan, selain berurusan dengan para peguam dari The Legal Centre for Arab Minority Rights in Isr4el (ADALAH) yang berpusat di Israel. Mereka juga akan bekerjasama dengan peguam antarabangsa bagi menguruskan proses perundangan yang berkaitan.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, berlayar menuju G4z4 sebagai tanda solidariti serta usaha memecahkan sekatan Isr4el, dengan membawa bekalan penting kepada penduduk P4lestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zi0nis.
Misi tersebut menarik perhatian dunia apabila disertai beberapa tokoh antarabangsa ternama, termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen dari Itali serta cucu kepada Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Pelayaran flotila GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan — menyeru agar peperangan serta krisis kebuluran dihentikan, selain mendesak agar koridor kemanusiaan ke G4z4 dibuka dengan segera.
Sumber: Bernama