GLOBAL Sumud Flotilla (GSF) menjadi tumpuan dunia apabila misi kemanusiaan antarabangsa ini menghimpunkan doktor, aktivis, sukarelawan, ahli politik dan masyarakat demi menyampaikan bantuan ke Gaza.
Tindakan rejim Isr4el memintas konvoi tersebut semalam menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia, termasuk doktor-doktor yang menzahirkan solidariti terhadap para aktivis terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan, menegaskan betapa beliau kagum dengan keberanian doktor-doktor yang menyertai GSF.
“Sebagai doktor, saya mengagumi semangat mereka yang sanggup turun ke lapangan untuk memberi rawatan dan ubat-ubatan kepada rakyat Gaza.
"Namun hati saya hancur apabila membaca laporan mengenai sekatan yang dikenakan rejim Israel terhadap misi ini,” katanya.
Peristiwa memilukan itu berlaku apabila tentera laut Israel menceroboh naik dua kapal misi GSF, Alma dan Sirius, pada jam 9.44 malam waktu Gaza (2.44 pagi waktu Malaysia), selepas kapal memasuki zon merah R3 kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.
Hampir kesemua daripada 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi ditahan tentera Israel, sehingga ke hari ini.
Dr Afif menyeru rakyat Malaysia agar terus berdoa demi keselamatan para aktivis.
“Mereka berjihad di jalan ALLAH, kita di sini teruskan solat hajat agar para aktivis, termasuk doktor-doktor, selamat dan sentiasa dalam lindungan-NYA,” tambah beliau.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran global, beliau menggalakkan masyarakat untuk berkongsi maklumat mengenai GSF di media sosial.
“Sebarkan, kongsikan dan ceritakan sebanyak mungkin tentang GSF agar dunia mengetahui ini adalah misi kemanusiaan, bukannya provokasi seperti didakwa pihak rejim.
'Kita semua perlu bersatu. Kalau bukan kita, siapa lagi?” katanya lagi.
Pada masa sama, doktor perubatan itu juga menasihati masyarakat agar tidak melayan komen negatif yang cuba mengambil kesempatan.
"Fokus utama adalah memastikan mesej tentang solidariti dan kemanusiaan terus sampai ke seluruh dunia. Misi GSF bukan sahaja menekankan bantuan fizikal seperti ubat-ubatan dan rawatan, tetapi juga mengingatkan pentingnya kesatuan, doa dan sokongan moral dari seluruh rakyat Malaysia.
"Solidariti yang ditunjukkan dalam menghadapi cabaran antarabangsa ini memperlihatkan bahawa dalam setiap ujian, kekuatan bersama mampu membawa perubahan dan harapan baru," ujarnya lagi.
Selepas Madleen yang dinaiki Greta Thunberg ditahan, kemudian inisiatif antarabangsa Global Sumud Flotilla, kini gelombang ketiga menyusul membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen serta aktivis kemanusiaan untuk masuk ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) and Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Sebanyak 10 bot telah berlepas pada 27 September 2025 dari Itali di bawah FFC x TMTG manakala kapal Conscience telah dilancarkan di Porto Otranto, Itali dan para peserta telah berlepas pada 30 September 2025.
Pada 1 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif, Humanitarian Care Malaysia(MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam perkongsian di Facebook Mycare memberitahu, seramai lapan wakil Malaysia menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlepas dari Pelabuhan Otranto, Itali menuju Gaza menggunakan kapal Conscience milik Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, FFC dan TMTG berkata, misi tersebut melibatkan wartawan antarabangsa dan pakar perubatan sebagai tanda solidariti bersama wartawan media Palestin, wartawan dan petugas perubatan yang terus melaporkan situasi di Gaza.
Kapal ini melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Terdahulu, seorang delegasi Malaysia Dr Maziah Muhammad telah pun belayar kini menuju ke Gaza menaiki kapal dibawah Thousand Madleen to Gaza (TMTG) bertugas sebagai pakar perubatan pada 27 September lalu.
Susulan itu, FFC menyeru kerajaan, institusi dan masyarakat untuk menyokong usaha ini selain menuntut laluan selamat bagi kapal tersebut dan hentikan sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan terus menghalang penduduk daripada memenuhi keperluan paling mendesak.