AKTIVIS dan pelakon Ardell Aryana yang kelihatan lemah rebah ketika meninggalkan balai tibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) untuk menaiki bas.
Sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) itu dilihat membelah lautan penyokong sambil mendukung salah seorang anaknya sebelum rebah secara tiba-tiba.
Keadaan itu disedari anggota polis yang berada berhampiran yang pantas membantu, bersama-sama salah seorang ahli keluarganya yang turut kelihatan cemas.
Suaminya yang juga pelakon, Nadzmi Adhwa, segera meluru mendapatkan Ardell dan memapahnya masuk ke dalam bas yang telah sedia menunggu di hadapan balai ketibaan.
Dalam sidang media terdahulu, Ardell menitipkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang hadir secara sukarela menyambut kepulangan mereka.
Tidak berucap panjang, beliau terus mengajak orang ramai untuk hadir ke Axita Arena esok.
“Terima kasih kerana sukarela hadir menyambut kami semua, saya tak dapat berkongsi banyak.
“Namun saya harap semua dapat hadir ke Axiata Arena esok untuk bersama solidariti demi P4lestin,” katanya.
Terdahulu, ketibaan Ardell ditunggu oleh Nadzmi Adhwa dan sepasang cahaya mata mereka.
Ardell tiba bersama 26 sukarelawan lain menaiki penerbangan Emirates EK432 yang mendarat sekitar jam 10.07 malam.
Ketibaan delegasi Malaysia itu disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; wakil Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ratusan pendukung Palestin dengan laungan Free Free P4lestin dan Allahuakbar sambil mengibarkan bendera P4lestin.
Pada Sabtu lalu, kesemua 23 sukarelawan GSF dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu dalam misi menghantar bantuan ke G4z4.