'Sama-sama banduan' – PU Rahmat akui gurauan tak kena tempat, puji jiwa besar PMX

Iklan

KADANG-kadang, niat sekadar bergurau boleh disalah tafsir. Itulah yang dialami pendakwah bebas dan aktivis kemanusiaan, PU Rahmat, apabila gurauannya di pentas baru-baru ini menyebut “sama-sama banduan”, yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), menjadi bualan ramai di media sosial.

Namun di sebalik insiden itu, terselit sisi lain yang lebih lembut – kisah tentang jiwa besar, nilai rendah diri dan humor seorang pemimpin negara yang dihormati.

Iklan
Iklan

PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, 32, menjelaskan bahawa gurauan tersebut tidak dibuat untuk menghina atau memperlekeh sesiapa. Sebaliknya, ia lahir daripada jenaka ringan antara dirinya dengan PMX ketika mereka pernah berhubung melalui panggilan video.

Iklan

“Pertama sekali saya nak minta maaf kalau ada yang tersinggung dengan gurauan saya. Sebenarnya, gurauan itu PMX yang mula dulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, dalam perbualan itu, PMX sempat berseloroh bahawa mereka kini mempunyai ‘status yang sama’, merujuk kepada pengalaman lampau masing-masing.

Iklan

"Jadi, bila beliau cakap begitu, saya anggap ia gurauan ringan antara dua orang yang sama-sama pernah melalui ujian hidup,” jelasnya.

Bagi PU Rahmat, pengalaman berada dalam penjara banyak mengajarnya tentang ketabahan dan erti ketenangan.

Katanya, walaupun berada dalam suasana serba kekangan, mereka sering bergurau sesama sendiri supaya tidak terlalu tertekan.

“Dalam penjara dulu, kami sering bergurau supaya tak rasa dunia ni sempit sangat. Kadang-kadang, bila kita belajar ketawa pada diri sendiri, hidup jadi lebih ringan,” ujarnya sambil mengakui setiap ujian hidup seharusnya dihadapi dengan hati yang terbuka dan penuh reda.

PU Rahmat turut mengakui kesilapannya membawa semula gurauan itu ke pentas awam tanpa menyedari konteksnya mungkin disalah tafsir.

Namun, dia memaklumkan telah bertemu semula dengan PMX dan memohon maaf secara peribadi.

"Bayangkan, seorang Perdana Menteri boleh bergurau begitu. Dia sangat berjiwa besar,” katanya.

Pendakwah itu menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, sebaliknya menjadikan insiden ini sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati ketika berjenaka di hadapan khalayak ramai.

"Saya pun berlapang dada dan berjiwa besar. Terkhilaf itu datang daripada saya,” katanya menutup bicara.

Kisah PU Rahmat ini bukan sekadar tentang gurauan yang disalah tafsir, tetapi juga mengingatkan kita tentang nilai empati, rendah hati dan kebijaksanaan dalam berhadapan dengan situasi yang tidak disengajakan.

Kadang-kadang, sedikit humor mampu menenangkan jiwa, asalkan disampaikan dengan hikmah.