PELAKON Sharifah Sakinah, mengakui tidak mahu anak saudaranya, Auddra Zulkifli atau Odah, terlalu cepat selesa dengan dunia glamor meskipun kini mendapat perhatian selepas menyertai program realiti Talk To My Manager.
Menurut Sakinah, 36, dia mahu melihat anak saudaranya itu melalui kejatuhan terlebih dahulu supaya dapat belajar menjadi lebih kuat dan berdisiplin dalam meniti perjalanan sebagai anak seni.
“Kalau boleh saya tidak mahu dia pergi terlalu tinggi. Saya nak dia jatuh, supaya boleh jadi lebih kuat.
"Sebab lama-kelamaan, kalau berada dalam zon selesa, itu akan jadi racun untuk dia. Bila selesa, bye-bye, awak takkan jadi penghibur yang bagus,” katanya ketika ditemui usai majlis malam gala filem terbaharu, lakonannya, Qifarah.
Tambah pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka itu, kejayaan dalam industri hiburan tidak datang hanya kerana popular di media sosial, sebaliknya menuntut fokus dan usaha yang konsisten.
“Saya banyak nak tegur sebenarnya. Kalau nak buat sesuatu benda, memang kena betul-betul fokus.
"Mungkin dia belum faham apa itu fokus. Jatuh naik kita bukan sebab penonton, tapi sebab kemalasan dan tak fokus,” ujarnya.
Sakinah menegaskan, dia mahu Odah keluar daripada zon selesa dan memahami realiti sebenar dunia hiburan, termasuk kepayahan membina nama serta pentingnya hubungan baik dengan orang dalam industri.
“Buat masa sekarang saya tak nak cakap panjang. Biarlah dia lalui sendiri supaya tahu apa itu merangkak dan networking.
"Jangan hanya buat kandungan di TikTok, dapat duit,” katanya lagi.
Sakinah turut menambah, tegurannya bukan bersifat menjatuhkan, sebaliknya sebagai dorongan agar anak saudaranya itu tidak mudah leka dengan perhatian yang diterima.
“Saya nak dia lalui kegagalan dan jatuh bangun sendiri. Itu baru akan bentuk dia jadi penghibur yang sebenar,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sakinah mendedahkan pengacara popular Sherry Alhadad turut menjadi antara individu yang membantu membimbing Odah bagi meningkatkan mutu persembahannya menjelang Grand Final Talk To My Manager, Ahad ini.
“Sherry akan bersama dia untuk guide juga. Sherry pun bukan penyanyi, tapi tahu apa itu persembahan. Semua berkait dengan cara membawa diri di atas pentas,” katanya.
Sementara itu, Sakinah kini tampil dengan watak antagonis bernama Mawar (Mak Wa) menerusi filem seram Qifarah yang sedang ditayangkan di pawagam bermula semalam.
Menariknya, pelakon versatil ini mengakui dia sebenarnya tidak gemar menonton filem seram, namun tidak menolak untuk berlakon dalam genre itu kerana baginya, cabaran yang datang bersama watak jauh lebih penting daripada ketakutan sendiri.
“Saya tak suka tonton cerita hantu, tapi saya suka berlakon. Jadi, saya tak kisah genre apa pun, saya akan buat.
"Saya sendiri yang tentukan sama ada nak nampak baik atau jahat,” ujarnya.
Meskipun menjayakan watak utama, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan jadual penggambaran Qifarah juga berlangsung serentak dengan drama Curang Tanpa Niat, sehingga memaksa dirinya bekerja tanpa rehat panjang.
“Lepas habis penggambaran Qifarah jam 10 pagi, saya terus ke set Curang Tanpa Niat. Jadual bercanggah tapi saya nak teruskan sebab watak Mawar memang menarik.
"Itulah kehebatan Sharifah Sakinah sebab bukan orang normal boleh buat. Saya kan tak normal,” selorohnya sambil ketawa kecil.
Mengulas lanjut mengenai wataknya sebagai Mawar, Sakinah berkata karakter itu bukan sekadar menyeramkan, tetapi membawa mesej dan lapisan emosi yang mendalam.
“Watak Mawar tak seram sangat, tapi ada sesuatu yang saya nak bagi pada penonton.
"Saya beri dari jiwa dan berdasarkan apa yang saya study tentang watak dan perwatakan yang saya bawa,” ujarnya.
Selain Sakinah, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi Datuk Remy Ishak, Rita Nadira, Liyana Jasmay dan Namron.