NAMA Cipela bukan lagi asing dalam dunia aksesori premium tempatan. Di sebalik jenama yang kini menapak hingga ke luar negara, berdirinya seorang wanita cekal bernama Hidayah Hassan.
Baginya, fesyen bukan sekadar gaya, tetapi juga cara hidup. Setiap rekaan yang dihasilkan bukan hanya cantik di mata, tetapi membawa misi besar – mengangkat warisan seni Malaysia ke pentas gaya moden dunia.
Perjalanan Hidayah bermula pada tahun 2012, ketika itu jalan yang ditempuh jauh daripada mudah.
Sumber yang terhad, kos produksi tinggi, kesukaran mendapatkan tukang mahir dan persepsi skeptikal masyarakat terhadap produk tempatan menjadi cabaran utama.
“Ramai tidak yakin kasut dan aksesori premium buatan Malaysia boleh menandingi kualiti antarabangsa.
“Label 'Made in Malaysia' belum lagi dikaitkan dengan produk mewah berteraskan seni pertukangan.
“Orang selalu persoalkan harga tanpa faham tentang kelangkaan sumber dan kemahiran tangan yang diperlukan,” jelasnya.
Namun dengan keyakinan dan ketabahan, Cipela kini berdiri sebagai antara nama yang diperhitungkan.
DARI pameran berprestij seperti CIMB Artober hinggalah ke butik luar negara, setiap langkah yang diambil menjadi bukti keberanian bahawa warisan seni tempatan mampu hidup megah dalam fesyen kontemporari.
Kejayaan itu juga membuktikan bahawa produk buatan Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa apabila diberi peluang dan kepercayaan.
Bagi Hidayah, kejayaan tidak semestinya diukur dengan angka jualan atau jumlah kolaborasi semata-mata. Yang lebih bermakna adalah impak budaya dan komuniti.
Beliau percaya, produk yang lahir daripada Cipela bukan sekadar hasil kilang, tetapi terbit daripada hati, minda dan jiwa.
“Saya bukan sekadar menjual kasut, sebaliknya menghasilkan sesuatu dengan penuh nilai, daripada kualiti produk hinggalah cara saya melatih staf.
“Apabila staf atau usahawan kecil yang dilatih kembali dengan rasa syukur kerana belajar sesuatu yang baru, itulah kepuasan sebenar,” katanya dengan penuh semangat.
PASANGAN MEMAHAMI
Kini berpangkalan di Istanbul, kehidupan hariannya semakin tersusun. Setiap pagi selepas Subuh, wanita itu gemar meluangkan masa berjalan kaki bersama suami selama 30 minit.
Bagi mereka, detik ringkas itu bukan sahaja menjaga kesihatan, tetapi juga masa terbaik untuk merancang hari dan saling memberi semangat.
“Saya dan suami memang suka bangun awal, dan pagi-pagi itulah masa kami saling sokong antara satu sama lain,” ujarnya sambil tersenyum.
Walaupun begitu, Hidayah mengakui dunia bisnes jarang menawarkan keseimbangan yang sempurna. Kadangkala, tumpuan kepada projek dan acara menuntut pengorbanan peribadi.
Namun, dirinya bertuah kerana dikurniakan pasangan hidup yang memahami visi dan misi yang sama adalah kunci utama untuk terus bergerak.
Selepas acara atau pameran besar, wanita yang tidak lokek dengan senyuman akan memastikan ada ruang untuk berehat, meluangkan waktu bersama keluarga dan mentua. Baginya, itulah cara terbaik mencari keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Pada masa sama, Hidayah sempat menitipkan pesanan buat kaum Hawa yang berjiwa bisnes supaya jangan terlalu takut gagal.
“Bisnes memang susah. Kalau mudah, semua orang dah buat. Tapi dengan niat yang jelas, kesabaran dan keberanian, kita akan belajar sepanjang jalan.
“Jangan tunggu tahu semua perkara untuk bermula, mula dulu dan nanti kita akan kenal diri kita sendiri dengan lebih baik,” katanya penuh yakin.
Malah kongsi wanita berusia 38 tahun itu lagi, kejayaan sebenar bukan hanya tentang keuntungan, tetapi kepuasan apabila melihat pelanggan tersenyum puas dengan kasut yang selesa dipakai berjam-jam lamanya.
“Itulah hasil daripada sebuah perjalanan panjang, dari jiwa dan untuk jiwa,” ungkapnya sebelum menutup perbualan.