SIAPA sangka demam yang dianggap biasa rupanya boleh bertukar kepada situasi yang mencemaskan.
Begitulah pengalaman Ahmad Syakir Mohamad Sazili, 47, apabila anak keduanya, Hani Mastura Ahmad Syakir, 19, tiba-tiba mengalami kekejangan tangan hingga kelihatan seperti strok, hanya beberapa jam selepas mengadu demam dan sakit sendi.
Bapa kepada empat anak yang juga Pengarah Komunikasi Korporat di sebuah IPTS itu masih teringat jelas kejadian yang berlaku pada 8 Oktober lalu, dua hari selepas Hani kembali ke kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
“Pada mulanya, Hani tidak demam pun. Tapi selepas dua hari di kampus, dia maklumkan dirinya mula demam dan sakit sendi.
"Katanya nak ke klinik, tapi saya hanya sempat ambil dia pada keesokan harinya sebab ada urusan kerja,” ujar Syakir ketika ditemu bual bersama SinarPlus.
Namun, panggilan telefon pada tengah hari keesokan harinya mengubah segalanya.
“Dia hubungi saya dalam keadaan menangis, minta datang segera sebab tak tahan sakit. Katanya tangan makin kejang dan kekejangan datang kerap,” cerita Syakir.
Sebaik tiba di kampus, Hani masih mampu berjalan sendiri. Namun, sebaik masuk ke dalam kereta, tubuhnya mula terketar-ketar.
“Saya sangka dia kesejukan sebab pendingin hawa. Tapi beberapa minit kemudian, dia mula mengerang kesakitan dan cakap sendinya seperti ‘ditarik’.
"Jari-jemarinya mengerekot, macam orang kena strok,” jelas bapa kepada empat cahaya mata itu.
Melihat keadaan anak yang semakin lemah dan menggigil, Syakir nekad tidak singgah ke klinik seperti dirancang. Sebaliknya, terus memecut ke unit kecemasan sebuah pusat rawatan swasta di Kajang.
“Saya memang panik. Hani tak berhenti menangis kesakitan. Bayangkan, depan mata sendiri tangan anak mengerekot dan dia tak boleh gerakkan jari.
"Fikiran saya terus teringat arwah ayah yang pernah diserang strok,” katanya.
DISAHKAN INFLUENZA A
Selepas menerima rawatan kecemasan hampir setengah jam, barulah keadaan Hani beransur stabil.
Doktor memaklumkan kekejangan tangan yang dialami itu dikenali sebagai carpopedal spasm dan bukan disebabkan strok seperti disangka.
“Doktor kata, secara klinikal, carpopedal spasm bukan kesan langsung daripada Influenza.
"Dalam kes Hani, ia mungkin berpunca daripada anxiety (kegelisahan) akibat sakit sendi yang terlalu kuat,” jelas Syakir.
Ujian makmal yang dijalankan kemudian mengesahkan Hani positif Influenza A.
Remaja itu dimasukkan ke wad influenza selama tiga hari dan dibenarkan pulang selepas keadaan stabil. Kini, Hani dilaporkan pulih sepenuhnya dan kembali berehat di rumah keluarga mereka di Bandar Baru Bangi.
Bagi Syakir dan isterinya, Khuraisah Mohd Nasir, 46, pengalaman itu menjadi pengajaran besar buat mereka sekeluarga supaya tidak lagi memandang ringan gejala demam dan selsema, terutama dalam kalangan anak-anak remaja yang tinggal di asrama dan kampus.
“Yang peliknya, adik Hani pun kena Influenza A tiga minggu sebelum tu di sekolah asrama di Jasin, Melaka.
"Tapi gejalanya ringan saja, demam biasa. Jadi kami memang tak sangka keadaan Hani boleh jadi seteruk itu,” katanya.
Atas kesedaran itu, pasangan berkenaan kini mengambil langkah proaktif, seisi keluarga mendapatkan vaksinasi influenza dan lebih berhati-hati apabila anak menunjukkan tanda-tanda awal seperti batuk, selsema atau keletihan.
“Kami pesan pada anak-anak, kalau ada kawan bergejala, jaga jarak. Jangan kongsi makanan atau minuman. Influenza ni nampak macam demam biasa, tapi kesannya boleh jadi sangat berbeza bagi setiap individu,” katanya.
Berkongsi nasihat kepada masyarakat, Syakir berharap agar ibu bapa lain juga tidak menunggu hingga keadaan menjadi serius sebelum membawa anak mendapatkan rawatan.
“Jangan ambil mudah demam. Jangan fikir ‘esok baru pergi klinik’. Saya sendiri tak tahu apa akan jadi pada Hani kalau lambat sedikit hari tu.
"Influenza ini bukan sekadar penyakit berjangkit, tapi boleh beri kesan teruk kalau dibiarkan,” katanya dengan nada tegas.
Beliau turut menekankan kepentingan tanggungjawab sosial, terutama apabila anak menunjukkan gejala demam di sekolah atau universiti.
“Cukuplah anak kita yang sakit. Jangan pula kita biarkan mereka sebarkan pada anak orang lain. Pastikan betul-betul sihat sebelum kembali ke sekolah atau kampus,” pesan Syakir lagi.