PERNAH tak kita nampak seseorang yang nampak ceria di luar, tapi sebenarnya sedang menahan tangis di dalam?
Realitinya, dalam kesibukan kerja dan rutin harian, ramai antara kita menyangka semua orang hidup bahagia tanpa sedar ada yang sedang bergelut dengan tekanan emosi dan perasaan sunyi tanpa tempat untuk meluahkan.
Dalam masyarakat yang masih malu dan takut untuk berkongsi masalah peribadi, langkah berani Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan kempen nasional ‘Awak OK Tak? Jom Kongsi’ hadir tepat pada waktunya.
Menurut Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri, kempen ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kesejahteraan emosi serta menggalakkan masyarakat bertanya khabar, mendengar dan memberi sokongan antara satu sama lain tanpa rasa prejudis.
Antara nadi utama kempen ini ialah Talian Kasih 15999, saluran sokongan yang beroperasi 24 jam bagi membantu mereka yang memerlukan khidmat kaunseling, bimbingan sosial atau perlindungan segera.
“Kita mahu ubah stigma terhadap isu kesihatan mental. Kadang-kadang pertanyaan kecil seperti ‘Awak OK tak?’ boleh memberi makna besar kepada seseorang yang sedang berjuang dalam diam,” ujarnya.
Kempen itu juga menggalakkan masyarakat lebih terbuka terhadap perbualan mengenai emosi dan kesihatan mental kerana kesejahteraan jiwa sama penting dengan kesihatan fizikal.
Selaras dengan semangat itu, turut dianjurkan Kasih Fun Run 2025 ‘Awak OK Tak?’ hasil kolaborasi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama KPWKM dan SinarPlus di Dataran DBKL, Kuala Lumpur, bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan.
KEBERSAMAAN DALAM KOMUNITI
Program larian pada hari itu secara keseluruhan disertai lebih 5,000 peserta yang mana, selain larian Kasih Fun Run, acara di Dataran DBKL turut dimeriahkan dengan Larian Farmasi Kuala Lumpur, Green Pink Run yang mempromosikan kesedaran kanser payudara, serta penyertaan daripada beberapa organisasi lain.
Berbalik kepada Kasih Fun Run, program tersebut bukan sekadar larian santai sejauh lima kilometer, tetapi simbol keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental, di samping menyemai semangat empati dan kebersamaan dalam komuniti.
Dataran DBKL bertukar menjadi lautan tenaga positif, bukan sahaja dengan derapan kaki peserta, tetapi juga deria semangat untuk saling prihatin dan peduli.
Menariknya, program berkenaan turut menyediakan reruai Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan PSSS Mobile bagi memberi peluang kepada pengunjung menilai tahap stres, kemurungan dan keresahan melalui saringan percuma serta sesi kaunseling bersemuka yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar YKN.
Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron, berkata pendekatan mesra komuniti itu membantu rakyat mendapatkan sokongan tanpa rasa malu atau takut.
BERANI BERKONGSI
Suasana di Dataran DBKL pula meriah dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti senamrobik, pemeriksaan kesihatan percuma, cabutan bertuah, jualan amal dan reruai interaktif yang menyuntik aura positif sepanjang hari.
Antara peserta yang ditemui, penyampai radio Haziq Usni mengakui, program sebegini sangat membantu masyarakat lebih memahami tahap emosi diri, manakala pelajar Nurin Abdullah Muhammad Nur pula berpesan supaya orang ramai tidak malu mendapatkan pertolongan sebelum masalah berlarutan.
Kaunselor YKN, Nur Amira Mohamed Yatim pula menambah, stres, keresahan dan kemurungan adalah ‘pembunuh senyap’ yang boleh dirawat jika seseorang berani berkongsi.
Secara keseluruhannya, Kasih Fun Run 2025 bukan hanya acara riadah, tetapi manifestasi semangat kempen ‘Awak OK Tak?' Jom Kongsi’ yang menyeru masyarakat Malaysia supaya lebih terbuka, berani berkongsi dan saling menyokong.
Dalam dunia yang makin sibuk dan penuh tekanan, mungkin satu pertanyaan kecil 'Awak OK tak?' sudah cukup untuk menyelamatkan sebuah jiwa yang sedang berjuang dalam diam.