USAHA pihak pembelaan untuk membolehkan saksi kes melibatkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, hadir memberikan keterangan di mahkamah secara bersemuka tidak kesampaian apabila mahkamah memutuskan saksi terbabit akan memberi keterangan menerusi pautan video.
Keputusan itu dibuat selepas prosiding hujahan yang berlangsung hari ini, seperti dimaklumkan salah seorang peguam bela Naim, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.
“Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memberikan arahan agar saksi berkaitan, iaitu mangsa dalam kes ini, memberikan keterangan secara video pada tarikh bicara nanti.
“Jadi pada tarikh tersebut, kita akan mendengar keterangan saksi yang terbabit menerusi pautan video,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Selain Nur Syafiah, Naim turut diwakili oleh Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.
Terdahulu, pada prosiding 19 September lalu, Mohd Irwan memaklumkan pihak pembelaan membantah permohonan pihak pendakwaan yang mahu mangsa memberi keterangan secara video.
“Ini kerana ketika perbicaraan nanti, mangsa bukan lagi berusia bawah 18 tahun, jadi sepatutnya dibicarakan secara biasa, secara normal,” katanya sebelum ini.
Bagaimanapun, selepas mendengar hujahan lanjut daripada kedua-dua pihak hari ini, mahkamah akhirnya memutuskan mangsa akan memberi keterangan secara dalam talian.
Sebelum ini, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 19 Mei lalu.
Menurut pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada jam 8.56 malam.
Jika sabit kesalahan, penyanyi lagu Sumpah itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Mahkamah Sesyen Putrajaya sebelum ini menetapkan tarikh 15, 16 dan 18 Disember ini bagi perbicaraan kes berkenaan.
Sementara itu, Mohd Irwan menjelaskan pihaknya belum dimaklumkan bila saksi berkenaan akan memberikan keterangan.
“Itu kita belum pasti, tetapi tarikh perbicaraan kekal sama pada Disember.
“Siapa yang akan memberikan keterangan dahulu juga bergantung kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, pelatun Seni Berdamai Dengan Takdir itu memaklumkan urusan kerja dan tugasan seninya masih berjalan seperti biasa, sambil menegaskan dirinya akan terus komited menghadapi proses perbicaraan.