SELEPAS 17 tahun hidup bersama dalam ikatan perkahwinan, pelakon Arash Mohamad dan isterinya, Noor Afidahwati Mohammad, akhirnya membawa haluan masing-masing.
Berita itu dikongsikan sendiri oleh Noor Afidahwati menerusi sebuah hantaran di Instagram, luahan yang ringkas namun sarat dengan makna dan ketenangan.
Menurutnya, perkongsian tersebut dibuat bukan untuk meraih simpati, sebaliknya bagi mengelakkan sebarang fitnah dan salah faham mengenai status rumah tangga mereka.
“Kini kami bukan lagi suami isteri, hanya dua hati yang pernah bertemu, lalu memilih jalan masing-masing,” tulisnya dalam nada yang tenang dan reda.
Menyorot hantaran tersebut, wanita itu memulakan dengan ayat yang cukup menyentuh perasaan.
“Setahun sudah berlalu…” —seolah-olah menggambarkan tempoh masa yang diambil untuk benar-benar melepaskan sesuatu yang pernah begitu bermakna.
Tanpa menjelaskan punca perpisahan, kenyataan itu jelas menggambarkan kematangan dua jiwa yang memilih untuk menamatkan hubungan dengan penuh hormat dan adab.
Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak selain menitipkan doa agar kedua-duanya terus kuat meneruskan kehidupan masing-masing.
Ada yang memuji ketenangan luahan tersebut, ada juga yang menganggap ia contoh bagaimana perpisahan tidak semestinya berakhir dengan kebencian.
“Kadangkala, melepaskan bukan bermakna kalah. Tapi tanda sudah tiba masa untuk mencari bahagia dengan cara berbeza,” tulis seorang pengguna media sosial.
Arash atau nama sebenar Azman Shah Ramlee, sehingga kini sinonim dengan beberapa drama tempatan dan sering memegang watak tenang serta berkarisma di layar kaca.
Justeru, berita perpisahan ini turut menarik perhatian peminat yang selama ini melihat mereka sebagai pasangan harmoni dan sederhana.