PELAKON dan usahawan, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya tampil berkongsi pandangannya mengenai isu penceraian yang semakin banyak berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri masa kini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, pelakon yang kini menetap di Australia itu berpendapat bahawa penceraian merupakan satu pilihan yang kadangkala menjadi jawapan terbaik, khususnya bagi mereka yang berdepan penderaan fizikal atau mental.
Namun, bagi yang memilih untuk terus berjuang mempertahankan rumah tangga, wanita berusia 40 tahun itu mengakui fasa selepas menimang cahaya mata pertama sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
“Perempuan sering meletakkan harapan tinggi terhadap lelaki. Kita harap dia faham, dia bantu, dia peka.
Menurut Raja Ilya, lelaki dan wanita merupakan dua makhluk berbeza yang memiliki cara berfikir, cara menyayangi, dan cara menzahirkan keletihan yang tidak sama.
Maka, salah faham, perang dingin, serta rasa tidak dihargai adalah sesuatu yang normal dalam hubungan suami isteri.
“Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tetapi tentang sejauh mana kedua-duanya mampu berdiri teguh walaupun ketika cinta terasa lemah,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon filem KL Vampires itu turut menegaskan bahawa rasa bersalah sering hadir selepas pertengkaran atau perpisahan berlaku.
"Tapi jika dari awal kita pilih untuk bertenang, ucap maaf, cuba memahami, dan tidak mengulangi kesilapan yang sama, kita tidak perlu melalui penyesalan dan patah hati itu,” ujarnya.
Membesar dalam keluarga yang berantakan, Raja Ilya menekankan bahawa kanak-kanak memerlukan kehadiran kedua ibu bapa di bawah satu bumbung selama hubungan itu masih boleh diperbaiki.
“Percayalah, jiwa dan masa depan anak-anak dibentuk oleh apa yang mereka lihat di rumah. Jadi kalau masih boleh bertolak ansur, kawal ego, pilih kasih sayang daripada ingin menang, lakukanlah demi mereka,” katanya.
Bagaimanapun, dia berpendapat bahawa dalam perkahwinan, tiada istilah betul atau salah kerana kedua-dua pihak mempunyai perjuangan masing-masing.
“Wanita berjuang dengan hormon, keletihan, dan tekanan selepas bersalin. Lelaki pula berjuang untuk menjadi pelindung, penyara, dan ketua keluarga.
“Jika terasnya adalah Tuhan, keluarga, dan kebaikan, kita akan sentiasa menemui jalan kembali,” ujarnya lagi.
Menutup perkongsian itu, Raja Ilya menulis bahawa dalam setiap kekusutan dan salah faham, cinta masih wujud selagi kedua-duanya memilih untuk terus berjuang dan membina bersama.
“Di situlah wujudnya pertumbuhan, hubungan yang sebenar, dan erti sebenar sebuah perkongsian hidup,” tulisnya.
Sekadar info, Raja Ilya berkahwin dengan seorang ahli perniagaan warga Australia, Trent Garrett, dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Talita Love, 3, dan Royal Abraham, setahun.