BARU-baru ini tular isu berkaitan tarikh pernikahan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli yang didakwa tidak tepat.
Memetik Berita Harian, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan status pernikahan pasangan itu adalah mengikut syarak.
JAIP memaklumkan berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Kamal dan Uqasha dinikahkan pada 4 November 2021, iaitu pada jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.
"Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan, iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.
"Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu," katanya dalam kenyataan kepada BH Online pada Khamis.
Pihak berkenaan turut memaklumkan bahawa majlis pernikahan Kamal dan Uqasha dilangsungkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 ketika itu.
"Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum Syarak," katanya.
Pencerahan daripada JAIP dilihat mampu menjawab tanda tanya peminat mengenai status perkahwinan Kamal dan Uqasha yang sedang hangat diperkatakan.
Uqasha terdahulu berkongsi kegusaran mengenai status perkahwinannya. Dia yang baharu menyedari tarikh pernikahan adalah 5 November, 9 pagi namun tarikh yang dicatat 4 November, 9.30 malam. Uqasha juga mempersoalkan syarat sah nikah.
Hal tersebut menimbulkan tanda tanya sekali gus kebimbangan perkahwinan itu tidak sah kerana perbezaan tarikh tersebut.
Pun begitu, hasil semakan menunjukkan Uqasha telah memadam hantaran berkenaan dari media sosialnya.
Terdahulu, Uqasha hadir ke prosiding pertama perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan namun ditangguhkan kepada 28 Oktober ini susulan Kamal tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran.
Uqasha memfailkan perceraian terhadap Kamal Adli pada 1 Oktober.
Mereka memiliki seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia setahun enam bulan.
Sumber: Berita Harian