PENYANYI dan bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan, akhirnya tampil memperjelas kemelut rumah tangganya dengan Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang kini dalam proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Menurut Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad Hassan, 39, Afifah sedar dan mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangganya, malah perkara itu telah lama dibincangkan bersama isteri serta keluarga wanita itu.
"Kalau dia kata tidak tahu, itu adalah tidak wajar. Saya pun tak mahu cakap banyak kerana takut perkara yang tak baik akan keluar.
"Kami pernah tinggal bersama selama 10 tahun, jadi biarlah saya simpan semua kisah ini," ujarnya.
Tambah Nubhan, selepas menilai semua aspek dan mempertimbangkan masa depan anak-anak, dia akhirnya reda dengan keputusan yang diambil.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, tahun.
Rumah di Dengkil
Mengulas dakwaan bahawa dia memiliki rumah lain di Southville, Dengkil, Nubhan menjelaskan kediaman itu bukan milik kekal sebaliknya disewa atas sebab tertentu.
Katanya, langkah untuk tinggal berasingan bukan berpunca daripada masalah kewangan atau hubungan dengan isteri, sebaliknya bagi menjaga emosi anak-anak agar tidak terkesan dengan sebarang pertelingkahan.
“Rumah itu saya tak beli tetapi sewa... Disebabkan apa yang berlaku, saya perlu asingkan diri. Saya tak mahu apabila kami bergaduh, ia dilihat oleh anak-anak.
Mahkamah telah menetapkan 2 Disember ini bagi mendengar permohonan pengesahan lafaz cerai selepas beberapa sebutan sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Nubhan merupakan antara 13 peserta yang menyertai Gegar Vaganza musim ke-12 yang bakal bermula 2 November ini.