PELAKON dan pengacara, Irma Hasmie memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan dirinya sudah kembali mendirikan rumah tangga.
Menurut Irma atau nama sebenarnya Irma Hasmie Ibrahim, 43, dia enggan menjadikan hal peribadi sebagai bahan bualan umum dan lebih selesa berdiam diri daripada memperbesarkan perkara berkenaan.
“Yang tahu, tahulah. Ia bukan sesuatu yang perlu diwar-warkan.
"Saya tak boleh kongsi mengenai hal itu dan memilih untuk tidak berkata apa-apa kerana bimbang ia akan menimbulkan pelbagai perkara lain,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Hayya 3: Gaza di sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.
Jelasnya, keputusan itu dibuat bagi menjaga hati banyak pihak, terutama keluarga serta dua anaknya.
“Sudah tentu banyak hati yang perlu saya jaga – keluarga, anak-anak, juga saudara mara.
"Emak ayah saya pun sudah tiada, jadi saya kena fikir perasaan keluarga besar saya juga. Mereka nanti akan bertanya khabar, dan saya tak mahu memeningkan ramai pihak,” ujarnya.
Tambah Irma, sebagai figura yang sudah lama bertapak dalam industri seni, dia memahami bahawa perhatian terhadap kehidupan peribadi adalah sesuatu yang sukar dielakkan.
Namun begitu, dia lebih senang memilih pendekatan tenang dan berhati-hati.
“Saya dah lama dalam industri, memang tak boleh lari daripada orang bercakap.
"Tapi saya tak mahu keluar kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah atau spekulasi, sebab akhirnya ia beri kesan pada diri saya sendiri.
"Kalau saya cerita benda betul pun, orang akan bercakap juga. Jadi lebih baik saya berdiam,” katanya.
Untuk rekod, Irma mendirikan rumah tangga dengan Redza Syah Azmeer pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Pasangan itu disahkan bercerai sekitar Oktober 2023, selepas perkara berkenaan dimaklumkan oleh rakan Irma, Reen Emran, menerusi hantaran di Instagram Story.
Redza kemudiannya dilaporkan berkahwin dengan wanita pilihannya bernama Fiza pada April tahun lalu.
Kini, Irma dilihat semakin aktif menyertai misi kemanusiaan di Timur Tengah serta dikenali sebagai Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, meneruskan perjuangan membantu masyarakat global yang memerlukan.