AKTRES Uqasha Senrose memohon maaf secara terbuka dan mengakui tidak berfikir panjang dan secara terbuka berkongsi hal rumah tangganya dengan aktor Kamal Adli.
Pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu berkata, tindakannya itu dilakukan kerana terlalu mengikut emosi, selain bersedia mengambil tanggungjawab penuh atas segala yang telah dikongsikan.
Dia juga memohon maaf dan menjelaskan bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan orang lain bukan dibuat dengan niat jahat, tetapi kerana emosi dan keletihan.
"Saya kena bertanggungjawab atas apa yang telah saya buat. Kapsyen yang mengundang kemarahan dan aib sesiapa pun, saya tiada niat. Saya tidak patut bercakap tentang perkahwinan secara umum. Saya salah.
"Mungkin masa itu saya tidak fikir panjang, tengah marah, sedih dan penat. Saya memberi reaksi mengikut emosi," katanya.
Ibu kepada cahaya mata perempuan itu berkongs hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu.
Uqasha duduk bersebelahan dengan ibunya yang turut memberikan sokongan.
Katanya dia juga sedar perkara berkaitan rumah tangga perlu diselesaikan tanpa melibatkan pengetahuan umum.
Menyesali tindakannya berkongsi hal peribadi secara terbuka dan kini ingin belajar daripada kesilapan, Uqasha ingin bertindak lebih matang serta menumpukan perhatian kepada pembangunan diri.
"Saya patut atasi dengan cara berbeza, lebih matang dan tertutup. Apa yang telah terjadi dah pun terjadi. Saya dah rasa semua ini. Tak patut kongsi tentang kehidupan peribadi.
"Bergerak ke depan, saya mahu fokus untuk bangunkan diri sendiri, menjadi lebih kuat dan ibu lebih baik," ujarnya.
Uqasha dalam masa yang sama mengambil maklum segala pandangan orang ramai yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
Rumah tangga pasangan itu yang hangat diperkatakan dan suaminya memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu.
Dalam beberapa perkongsian di media sosial, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose tu banyak membalas komen-komen netizen yang bertanya soal perkahwinan termasuk punca permhonan cerai.
Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan.