HIDUP dalam kemiskinan dan penderitaan bertahun-tahun gara-gara kesilapan hospital. Memetik South China Morning Post, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori menang saman terhadap hospital terlibat, yang diperintahkan membayar pampasan sebanyak 38 juta yen (kira-kira RM1.05 juta).
Kes berprofil tinggi yang diputuskan pada 2013 itu kembali menjadi bualan di media sosial susulan laporan baharu mengenai kanak-kanak di China yang diculik ketika bayi, dibesarkan dalam keluarga miskin, dan kemudiannya bertemu semula dengan ibu bapa kandung daripada keluarga berada.
Pada November 2013, mahkamah memutuskan hospital terbabit, Hospital San-ikukai di daerah Sumida, Tokyo, bertanggungjawab atas pertukaran bayi yang berlaku sejurus selepas kelahiran kedua-dua lelaki itu pada 1953 dan diarahkan membayar pampasan kepada mangsa yang ketika itu berusia 60 tahun.
Namun, apa yang menyentuh hati, kebenaran mengenai pertukaran tersebut tidak terbongkar selama enam dekad, sehinggalah anak-anak lelaki keluarga kaya itu mula tidak berpuas hati dengan layanan abang sulung terhadap ayah mereka.
Selepas kematian ibu, abang sulung berkenaan dilaporkan mengambil harta pusaka bapa daripada bahagian warisan ibu sebagai imbuhan menjaga orang tua itu dan bertindak menghantar bapa mereka ke rumah jagaan warga emas.
Tindakan itu menimbulkan rasa curiga dalam kalangan adik-beradik. Mereka kemudian turut menyedari rupa paras abang mereka agak berbeza berbanding ahli keluarga yang lain.
Artikel berkaitan:
- 20 tahun tertukar kerana salah tag nama masa lahir, pasangan kembar betulkan nama ayah pada IC
- 10 kes tertukar bayi di dunia. Nombor 2 paling epik, 60 tahun baru jumpa semula!
- Bukan sinetron, insiden tertukar bayi terbongkar selepas 20 tahun
- Bukan drama, ini kisah benar. Insiden tertukar bayi, taut silaturahim dua keluarga
Anak-anak keluarga berada itu turut teringat bahawa arwah ibu pernah memberitahu bahawa pakaian bayi abang mereka telah tertukar selepas seorang jururawat memandikan bayi itu di hospital sejurus selepas kelahiran.
Keputusan ujian itu cukup mengejutkan apabila mendapati 'abang sulung' itu bahawa tiada pertalian darah dengan keluarga mereka.
Siasatan lanjut dilakukan terhadap rekod hospital yang membawa kepada penemuan seorang pemandu lori di Tokyo yang dilahirkan hanya 13 minit lebih awal daripada bayi yang tertukar dengannya.
Lelaki berkenaan dibesarkan oleh keluarga angkat. Lebih menyedihkan, lelaki itu kehilangan bapa angkat ketika berusia dua tahun yang menyebabkan hidupnya melarat dalam kemiskinan hingga terpaksa bekerja sambilan bagi menampung persekolahan hingga tamat peringkat menengah.
Sementara itu, bayi yang sepatutnya menjadi dirinya dibesarkan dalam keluarga kaya, menerima pendidikan tinggi dan kemudian menjadi eksekutif syarikat sementara tiga adik lelaki keluarga berkenaan berjaya dalam dunia korporat.
Malangnya, ketika pemandu lori itu akhirnya mengetahui identiti ibu bapa kandungnya yang sebenar, kedua-duanya sudah meninggal dunia.
Hakim Masatoshi Miyasaka dalam penghakimannya memihak kepada plaintif dengan menyatakan bahawa lelaki berkenaan telah dipisahkan daripada ibu bapa kandungnya sejurus selepas kelahiran dan berhak menerima pampasan kerana berpendapat lelaki berkenaan sepatutnya dibesarkan dalam persekitaran yang lebih selesa dari segi kewangan.
Malah lelaki itu kini tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan ibu bapanya yang sebenar.
Sumber: SCMP