AKTOR Shah Iskandar berkongsi berita duka apabila isterinya perlu melalui proses pengguguran selepas bayi dalam kandungan disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Pemilik nama Shah Iskandar Mahfuz, 43, itu mendedahkan suri hatinya, Siti Sarah Mohd Noor kini sedang berada di hospital di Kuala Lumpur untuk proses mengeluarkan bayi secara induksi memandangkan wanita itu baharu menjalani pembedahan Caesarean lapan bulan lalu.
'Isteri saya kini hamil 16 minggu anak ketiga, namun bayi kami telah dikesan menghidap Sindrom Edwards, iaitu trisomi 18 atau dalam bahasa mudahnya, terlebih bilangan kromosom.
"Lapisan di belakang leher bayi menunjukkan ketebalan 4.8 sentimeter.
"Doktor telah menasihatkan supaya proses kelahiran diinduksi lebih awal dan kandungan digugurkan kerana menunggu lebih lama boleh mendatangkan risiko berbahaya kepada Sarah memandangkan dia baru menjalani pembedahan Caesarean lapan bulan lalu," kongsinya.
Dalam pada itu, pelakon kelahiran Singapura tersebut turut mendedahkan risiko yang bakal dihadapi ibu dan anak jika pengguguran tidak dijalankan segera.
"Tambahan pula, kadar kebarangkalian untuk bayi ini hidup hanyalah sekitar lima peratus.
"Walaupun dengan 'keajaiban' lima peratus itu (dan kemungkinan besar tidak akan sempat bertahan hingga tarikh jangkaan kelahiran), jangka hayat si kecil dijangka hanya antara enam bulan hingga setahun, itu pun dengan bantuan alat sokongan hayat bagi organ-organ penting yang terjejas.
Artikel berkaitan:
- Terima takdir dikurnia anak sindrom Down, ambil pengesanan hingga intervensi awal
- Hanya 34 peratus rakyat Malaysia simpati dengan anak sindrom Down
"Dengan hati yang amat berat dan setelah menerima nasihat tegas daripada pakar fetal kami, saya dan Sarah telah membuat keputusan untuk meneruskan proses pengguguran ini.
"Kami merasakan akan menjadi terlalu kejam untuk membiarkan bayi itu menanggung penderitaan hidup bergantung kepada mesin dalam tempoh enam bulan hingga setahun itu," jelasnya.
Buat masa ini, pelakon Nora Elena dan Jika Itu Takdirku berada di Kuala Lumpur, namun perlu segera pulang ke Singapura selepas semuanya selesai.
"Sarah telah dimasukkan ke wad sejak malam tadi dan telah melalui proses induksi kali kedua pada jam 5 petang tadi.
"Mohon semua doakan keselamatan Sarah serta agar proses pengguguran ini berjalan dengan lancar.
"Semoga anak perempuan syurga kami menyambut kami di jannah nanti, insya-ALLAH.
"Saya hanya memohon agar kalian semua mendoakan untuk anak saya, Maryam Inara, dan isteri saya, Siti Sarah. Terima kasih. Al-Fatihah," titipnya.
Shah dan isteri berkahwin pada 16 Januari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Yusuf Zulkarnaen dan Noah Arjuna.