EMPAT tahun melayari bahtera perkahwinan, namun ulang tahun kali ini berbeza bagi pelakon Kamal Adli.
Buat pertama kali, aktor berusia 38 tahun itu menyambut hari istimewa tanpa kehadiran isteri tercinta, Uqasha Senrose, di sisi.
Walau rancangannya untuk meraikan detik bermakna itu tidak kesampaian, Kamal tetap reda dan memilih untuk terus berjuang mempertahankan rumah tangga yang sedang diuji.
"Alang-alang semua ada di sini, saya nak beritahu, bahawa hari ini adalah ulang tahun perkahwinan saya yang keempat.
"Saya sebenarnya sudah ada perancangan untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan tapi disebabkan isu yang berbangkit ini, ia tak dapat dilaksanakan.
"Tak mengapalah, saya okay sahaja," katanya memetik Media Hiburan.
Hadir lewat ke majlis sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur, pelakon tersebut menjelaskan, dia terdahulu terpaksa bergegas dari lokasi yang sepatutnya menjadi tempat meraikan ulang tahun perkahwinan.
"Tahun ini, sambutan anniversary saya agak berbeza. Saya sambut sendiri sahaja. Saya sebenarnya memang ambil cuti selama tiga hari.
"Saya memang sudah merancang dan setiap tahun memang begitu. Cuma tahun ini sambutannya tak berjaya sangat," kongsinya lagi.
Mengakui fasa lima tahun pertama paling mencabar, Kamal yang sedang melalui ujian besar dalam rumah tangga kekal tabah dan berazam untuk mempertahankan perkahwinan serta bukan mencari jalan keluar.
"Seperti yang orang selalu perkatakan, lima tahun pertama perkahwinan memang agak mencabar.
"Saya selalu bercakap kepada diri sendiri, ini adalah dugaan yang ALLAH hendak beri.
"Insya-ALLAH ada benda balk yang menanti. Saya mengharapkan benda yang baik itu adalah dapat bersama kembali dengan keluarga.
"Saya bukan mahu meraih simpati atau buat orang kasihan kepada saya. Pada waktu ini, biarlah orang nampak saya mengejar anak dan isteri saya.
Dalam pada itu, pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli turut berasa terharu dengan sikap prihatin para peminat yang berusaha membantu menyelamatkan rumah tangganya.
"Alhamdulillah saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada peminat dan orang ramai. Sokongan mereka memang gila. Mereka sudah seperti sahabat saya.
"Mereka doakan saya dan beri macam-macam idea. Terima kasih juga kepada netizen yang spam ruangan komen Ugasha.
"Walaupun usaha itu seperti tidak terlalu menjadi, inshaAllah kita cuba cara lain pula nanti," katanya.
Imbas kembali, rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menafikan ia berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap bersama ibunya.
Uqasha dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Untuk rekod, pasangan itu sah bergelar suami isteri pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Sumber: Media Hiburan