PEMERGIAN bonda tercinta sememangnya momen paling menyentuh hati bagi sesiapa pun dan bagi pelakon Zul Huzaimy, ia membawa erti yang jauh lebih mendalam.
Baru-baru ini, video Zul Huzaimy membacakan talkin untuk arwah ibunya di laman sosial menjadi tular, menyentuh hati netizen yang terharu dengan kesungguhan dan kekuatan emosi seorang anak lelaki yang masih mampu menahan sedih di saat kehilangan insan tersayang.
Berikut adalah potongan talkin yang dibacakan oleh pemilik nama penuh Zul Huzaimy Marzuki yang mengundang air mata warga maya.
"Ya ALLAH Ya Tuhanku kau terimalah segala bacaanku huruf-huruf al-Quran sebagai panduan hidupnya ya ALLAH.
"Ya ALLAH Ya Tuhanku ampunkan dosa ibuku sejak kecil sehingga menemui dirimu.
"Ya ALLAH, Ya Rahman Ya Rahim bukakanlah hati sesiapa sahaja yang pernah menyakitinya, ampunkanlah segala dosa-dosanya yang pernah menyakiti hati orang.
"Kau bukakanlah pintu hati mereka, Ya ALLAH untuk ampunkanlah ibuku.
"Ya ALLAH, Ya Tuhan lapangkanlah kuburnya, Engkau jauhkanlah dia dari azab kubur dan azab api neraka.
"Tempatkanlah dia bersama orang yang beriman dan bertakwa bersamamu di syurga.
"Ya ALLAH, Ya Tuhan. Itu sajalah permintaan daripada kami buat ibu
"Ya ALLAH, Ya Tuhan, bantulah kami di dunia yang baik dan di akhirat yang baik. Lindungilah kami daripada azab api neraka.
Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh ahli keluarganya. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam,” tuturnya dalam sebak.
Video yang dirakam oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai itu menerima lebih 4,000 reaksi daripada warga maya yang rata-rata sebak.
"Tidak semua anak lelaki diberi kekuatan untuk berdiri di sisi pusara ibunya, mengungkapkan doa dan talkin dengan suara yang tenang.
"Saat lidah bergetar membaca kalimah-kalimah suci, hati sedang berperang antara reda dan rindu yang tidak bertepi.
"Ketahuilah tiada hadiah yang lebih bermakna bagi seorang ibu yang telah kembali ke rahmatullah melainkan doa ikhlas daripada anak yang soleh.
"Itulah tanda kasih yang tidak putus oleh jarak dan masa. Sesungguhnya, kasih ibu membawa ke syurga. Doa anak menjadi jambatan menuju rahmat ALLAH," titipnya.
Ibu Zul Huzaimy, Azmi Ibrahim meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada Selasa meninggalkan 12 orang cahaya mata.
Allahyarham difahamkan dikesan menghidap masalah organ berkenaan sejak bulan Julai yang lalu.
Sejak itu, beliau berulang-alik mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan susulan. Allahyarham menunjukkan semangat juang yang tinggi dan ketabahan luar biasa dalam menempuh ujian kesihatan yang dihadapi.
Namun demikian, keadaan kesihatannya semakin merosot dan dimasukkan ke wad pada 30 Oktober selepas kuman dikesan telah merebak ke bahagian jantung.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara kira-kira di 10 pagi Rabu.
Sumber: Instagram