AKTRES berbakat Tiz Zaqyah bakal melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya. Selepas sekian lama selesa dengan kehidupan solo, Tiz akhirnya membuka lembaran baru apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga tahun hadapan bersama lelaki yang sudah lama dikenali sejak kecil.
Lebih manis pemilik nama Siti Zaqyah Abdul Razak itu mendedahkan calon suami bukanlah insan asing dalam hidupnya, sebaliknya rakan lama yang tinggal di kawasan perumahan sama.
Pertemuan semula mereka menghidupkan kembali kenangan lama dan akhirnya membawa kepada keputusan untuk disatukan.
Tidak mendedahkan tarikh pernikahan, namun pelakon drama berantai popular Nur Kasih itu mengakui kedua-dua belah pihak mereka sudah lama saling mengenali dan merestui.
"Kami kenal sudah lama, sejak zaman kanak-kanak lagi. Dia bukan orang industri, tapi adik kepada seorang pelakon.
"Kami tinggal di kawasan perumahan sama dan keluarga kami memang saling mengenali. Kalau raya nanti senanglah, tak perlu gaduh nak balik kampung siapa dahulu," katanya
Apabila disoal tentang apa yang membuatkan jejaka itu begitu istimewa, aktres berusia 37 tahun itu mendedahkan mereka sebenarnya banyak berkongsi persamaan.
"Kami mula serius sejak setahun lalu. Perasaan itu datang secara semula jadi. Kami berkawan lama dan kemudian buat keputusan untuk berkahwin.
"Alhamdulillah, saya gembira dan bahagia sekarang. Cuma buat masa ini saya belum bersedia mendedahkan identiti dirinya. Saya bimbang dengan penyakit ain.
"Insya-ALLAH, bila tiba masanya nanti saya akan buat pengumuman rasmi. Doakan yang baik-baik," katanya.
Sementara itu, pada Insta Story pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin ke–20 itu berkongsi beberapa foto seorang jejaka dikenali sebagai Nas Ameer.
"Assalamualaikum, doakan kami semoga ALLAH permudahkan segala urusan amin," titipnya pada satu hantaran.
Sumber: Berita Harian, Instagram