BAHARU sebulan menimang cahaya mata keempat, pelakon dan usahawan Yana Samsudin mendedahkan perjalanan getir yang dilalui.
Tak ramai tahu di sebalik senyumannya, Yana Samsudin berjuang untuk melahirkan zuriat keempatnya baru-baru ini.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu mendedahkan praeklampsia, tekanan darah tidak menentu dan paru-paru bayi yang makin lemah, semua itu menjadi ujian besar yang terpaksa dihadapi pelakon dan usahawan ini sebelum akhirnya melahirkan anak secara pramatang baru-baru ini.
"ALLAH sebaik-baik perancang. Manusia hanya mampu merancang, tetapi ALLAH sebaik-baik perancang.
"Saya sudah mula risau sebab mengalami praeklampsia, protein dalam air kencing semakin meningkat dan tekanan darah saya pula naik turun seperti roller coaster naik turun.
"Akhirnya saya terpaksa melahirkan lebih awal selepas doktor nasihatkan saya bed rest panjang dan saya terpaksa melahirkan si kecil lebih awal daripada tarikh dirancang iaitu pada usia kandungan 35 minggu tiga hari.
"Alhamdulillah, walaupun dilahirkan, syukur sangat baby sihat walafiat dan saya pun semakin kuat," titipnya.
Terdahulu, pelakon Adnan Sempit dan Bini-Biniku Gangster itu walau sedang berpantang di hari yang ke-30 selepas melahirkan anak ketiga tidak menghalang dirinya hadir menerima skrol Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Korporat pada istiadat konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Lebih istimewa lagi, hari berkenaan sepatutnya tarikh jangkaan dia bersalin.
Sekadar info, Yana mendirikan rumah tangga dengan Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Aisy Mateen, Aura Aisy Sofea, Aisy Hakeem dan si kecil yang baru lahir.