KINI dunia penghantaran gas memasak turut melangkah ke fasa baharu dengan kemunculan aplikasi pintar Gasbee, sebuah platform yang dibangunkan untuk memberi pengalaman tempahan gas yang lebih cepat, selamat dan teratur.
Majlis pra-pelancaran aplikasi tersebut berlangsung penuh meriah di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, dihadiri tetamu jemputan dan rakan industri. Acara tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua PERDASAMA Negeri Selangor, Tengku Shamsul Bahri Tengku Azman Alhaj, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Seven Circles Venture (M) Sdn Bhd, Mohd Apandi Bin Abdullah,
Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh menempah gas terus daripada pengedar berhampiran tanpa perlu risau soal keselamatan atau kelewatan penghantaran, menjadikan urusan seharian lebih tenang dan tersusun.
Lebih menarik lagi, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelancaran motosikal elektrik kuning prototaip Gasbee, model Solo 2 keluaran Blueshark Malaysia, yang menjadi simbol komitmen Gasbee terhadap operasi penghantaran yang lebih mesra alam dan berdaya lestari.
Sebagai usaha menyokong dan menghargai para pengedar serta peniaga gas berdaftar, Gasbee turut mengumumkan pemberian telefon pintar dan kad SIM CelcomDigi secara percuma untuk memudahkan akses kepada sistem penghantaran dalam talian.
Langkah itu bukan sahaja memperkemas komunikasi antara pelanggan, pengedar dan syarikat gas, malah mengukuhkan keseluruhan rangkaian perkhidmatan agar lebih efisien dan sistematik.
Menurut Mohd Apandi Abdullah, Gasbee dibina dengan visi yang jauh lebih besar daripada sekadar aplikasi tempahan gas.
“Kami mahu membawa pengalaman baharu yang bukan saja memudahkan pengguna, tapi turut menyokong gaya hidup moden yang lebih lestari,” jelasnya.
Dengan pendekatan yang menyeluruh, Gasbee dilihat bersedia menjadi platform yang menghubungkan pengguna dan pengedar dengan cara yang lebih inovatif, selamat dan mampan, seiring perubahan gaya hidup masa kini yang semakin bergantung pada teknologi.