PELAKON dan usahawan, Rebecca Nur Al Islam, tidak dapat menyembunyikan rasa syukurnya apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian hampir lima tahun di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada 13 November 2025 lalu. Momen itu, menurut Rebecca, adalah antara detik paling bermakna dalam hidupnya.
“Pertama sekali saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dengan izin-NYA, segala ini berlangsung dengan begitu lancar di majlis konvokesyen tempoh hari,” luah Rebecca dengan penuh rasa rendah hati.
Menerusi luahannya di Instagram, pelakon berdarah kacukan Melayu, Jawa, Arab dan Cina itu tidak melupakan doa serta restu keluarga sebagai kekuatan.
Mengimbas kembali perjalanan hampir lima tahun itu, Rebecca mengakui ia bukan suatu yang mudah.
Tanggungjawabnya bukan kecil. Seorang ibu kepada tujuh orang anak, beliau juga mencari rezeki untuk keluarga melalui perniagaan dan kerjaya sebagai perunding takaful.
Dalam tempoh yang sama juga, hidupnya turut diuji apabila 'dalam sekelip mata' ALLAH menarik beberapa nikmat yang pernah dimiliki.
“Saya sedar dunia ini hanya sementara. Saya juga sedar bahawa semuanya termasuk diri saya, anak-anak, keluarga, harta benda mahupun suami hanyalah pinjaman daripada ALLAH. Saya reda dengan apa yang berlaku.
“ALLAH sayang saya, itu cukup untuk saya terus kuat,” titipnya.
Walau diuji, Rebecca memilih untuk melihat segalanya dari sudut positif. Baginya, kesedihan tidak boleh menjadi alasan untuk dia berhenti melangkah kerana amanah yang dipikul sebagai seorang ibu jauh lebih besar.
“Saya sangat bersyukur kerana saya percaya ALLAH sayang saya.
"Hari demi hari, saya semakin kuat. Bila saya pandang anak-anak, hati saya kembali tenang dan positif," luahnya.
Dalam luahan panjang, Rebecca menitip pesan penuh kasih buat ketujuh-tujuh cahaya matanya. Beliau berharap anak-anaknya membesar sebagai insan berilmu, rajin belajar dan berakhlak.
“Hidup tidak selalunya indah, sayang. Kita pasti diuji kerana dunia ini memang tempat ujian. Pegang teguh pada agama dan al-Quran. Apa juga pandangan dan kata orang, senyumlah dan ucap ‘Alhamdulillah’.
“Mummy doa kalian sentiasa sihat dan berjaya suatu hari nanti. Dan Mummy nak pergi konvokesyen untuk kamu semua pula, insya- ALLAH,” tulisnya, bersulam doa dan harapan seorang ibu.
Imbas kembali September lalu, aktres itu berkongsi sudah bercerai berpisah dengan bekas suaminya, Datuk Nur Azman Sulaiman pada awal Mei selepas 14 tahun berumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, selain seorang anak angkat lelaki, Nor Adam Daniel, yang kini berusia 16 tahun.