“TERGAMAK kau buat anak aku yang baru berumur sembilan bulan, kau tidak layak dipanggil manusia, kau memang binatang!"
Demikian ungkap ibu, Robiatul ‘Adawiah Aziz yang mengakui dihantui bayangan wajah anaknya yang meninggal dunia selepas diliwat suami kepada pengasuh, empat tahun lalu.
Hati ibu itu hancur apabila hasil bedah siasat mendapati, terdapat ekstrak air mani milik tertuduh di dubur dan usus besar si kecil.
“Tangisan dan senyumannya telah diragut dengan cara yang paling menyakitkan.
“Kehilangan anak bukan sekadar suatu perasaan, tetapi luka yang tidak akan pernah sembuh,” katanya menerusi kenyataan yang dilampirkan kepada mahkamah.
Robiatul ‘Adawiah berkata, rasa bersalah dan trauma menghantui keluarga setiap hari, sehingga menyebabkan dia sukar tidur malah terjaga kerana mimpi ngeri atas kejadian yang menimpa bayinya.
Wanita itu yang juga bekas guru di sebuah sekolah agama berkata, kejadian itu bukan sahaja meragut nyawa anak kecil yang tidak berdosa, tetapi turut memusnahkan jiwa seluruh keluarganya sehingga mereka tidak lagi berani mempercayai anak kecil dijaga orang lain.
“Saya akan terus hidup dengan kesakitan ini sepanjang hayat, tetapi saya berharap keputusan mahkamah dapat memberikan sedikit kelegaan sebagai tanda, keadilan akhirnya ditegakkan,” katanya.
Menurutnya, tiada hukuman yang mampu mengembalikan anaknya tetapi berharap tiada lagi ibu bapa lain perlu melalui penderitaan sama sepertinya.
Artikel berkaitan:
- Tragis! Alat sulit dijahit hentikan pendarahan, cedera seluruh otak, ini kronologi pembunuhan kejam Baby Zara oleh suami pengasuh
- Kisah menyayat hati di sebalik lagu Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Noor, berikut kronologi kes Nurul Huda
Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Robiatul ‘Adawiah berkata, dunia ini kejam buat anak syurganya.
“Tergamak kau buat anak aku yang baru berumur sembilan bulan, kau tidak layak dipanggil manusia, kau memang binatang!
“Kalau tengok hukuman yang dikenakan memang tidak setimpal dengan perbuatan yang dia buat, nak buat macam mana, sekarang tiada hukuman mati kecuali penjara dan sebatan.
“Aku sedikit lega kerana aku tahu Ida, kau akan baca (luahan) ini, aku tidak akan maafkan kau dengan Bad, kau kena ingat, karma itu pasti ada,” katanya.
Terdahulu Mohamed Badruldin Mohamed, 40, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.
Dia yang menganggur dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat.
Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan manakala 30 tahun, 12 sebatan bagi kes membunuh bayi malang itu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021.
Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh ketika itu, Dr Rohayu Shahar Adnan juga mengesahkan wujudnya kecederaan akibat objek tumpul pada dubur mangsa.
“Punca kematian ialah ‘smothering’ (keadaan yang melemaskan), sampel DNA juga mengesahkan terdapat ekstrak sel sperma milik OKT pada dubur dan rektum si mati.
“Tertuduh didapati melakukan persetubuhan luar tabii. Ada juga luka koyak dan lebam yang boleh disebabkan oleh jari atau zakar, sekali gus mengukuhkan dakwaan penderaan seksual terhadap bayi tersebut,” menurut fakta kes.
Pada hari kejadian, pengasuh, Norhidayah Ab Hamid memberitahu ibu mangsa, Robiatul' Adawiah Aziz bahawa anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tidak sedarkan diri.
Pada jam 7 malam, sepasukan doktor dan jururawat membuat teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan dan empat jenis ubat jantung selain menstabilkan tekanan darah.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.18 tengah hari, 28 April 2021.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang antara jam 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim sementara pembelaan oleh peguam, Azizul Shariman.
Semasa prosiding, Shahrul Ekhsan memohon mahkamah mengenakan hukuman mati kepada tertuduh kerana mangsa dalam kes ini merupakan seorang bayi yang masih kecil, telah diperlakukan sedemikian rupa oleh tertuduh yang dewasa.
“Ibu bapa mangsa perlu bekerja lalu menghantarnya untuk dijaga oleh isteri Mohamed Badruldin tetapi telah diperlakukan sedemikian kerana nafsu serakah tertuduh.
“Sedangkan mangsa merupakan seorang bayi yang lemah maka dia sepatutnya disayangi dan diberi perhatian,” katanya.
Pada 12 Mei 2021, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan itu, di hadapan Majistret, Muhammad Iskandar Zainol.
Sumber: Sinar Harian, 2