TAKZIAH buat hos dan penyampai radio, Dayah Bakar yang kehilangan bapa tercinta Datuk Abu Bakar Johar, 72, pada jam 12.59 tengah malam tadi.
Berita duka pemergian insan tersayang itu dikongsikan pemilik nama Nur Hidayah binti Abu Bakar menerusi Insta Story.
"Ayah saya telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 12.59 tengah malam tadi.
"Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Kami menerimanya dengan hati yang amat berat," tulisnya.
Dayah dalam masa sama turut memohon orang ramai mendoakan roh Allahyarham.
"Mohon titipkan doa agar rohnya dicucuri rahmat. Semoga ALLAH mengurniakan keampunan, mempermudah perjalanannya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-NYA yang soleh.
"Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan beliau sejak beberapa hari lalu," kongsi Dayah.
Dayah juga sempat berkongsi foto bilik bapanya yang penuh nostalgia dan berkongsi kapsyen sayu.
“Cadarmu yang comel dan langsir polka dot comel (kepunyaan saya), tapi abah tiada di sini," titip Dayah.
Sementara itu, pihak keluarga memaklumkan jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Surau Silaturahim SPPK, Segambut sebelum pengebumian.