BERSERI-seri seperti pengantin baharu, begitulah aura yang dibawa ibu kepada penyanyi terkenal Shila Amzah, Fauziah Sarman, selepas ikatan perkahwinannya menjadi tumpuan para peminat.
Dua tahun membawa gelaran ibu tunggal bukanlah satu perjalanan mudah, namun siapa sangka pertemuan pertama pada bulan Jun membuka pintu bahagia yang lebih luas. Tidak menunggu lama, Fauziah akhirnya menerima lamaran Brigedier Jeneral Zainal Abidin Mohd Salleh sebuah keputusan yang lahir daripada keserasian yang hadir seawal detik perkenalan.
Menerusi video Media Hiburan, Brigedier Jeneral Zainal Abidin Mohd Salleh mendedahkan pelakon Serina Redzuawan adalah orang di sebalik penyatuan cinta.
"Mula-mula Serena yang perkenalkan. Serena yang atur semua sekali dari A sampai Z, Serena yang atur pada 2 Jun," tuturnya.
Sementara itu, Fauziah yang mesra disapa Mama Zie mendedahkan Zainal tidak mengambil masa yang lama untuk melamarnya.
"Sebulan kemudian dia ajak kahwin. Kira sekali terjumpa dia, terus macam terpikat.
"Dalam pada kata tidak mahu, apabila dia datang tersuka dan terpikat pula," kongsinya.
Mama Zie sempat berkongsi senyuman manis Zainal Abidin antara ciri yang menawan hatinya dan berseloroh tutur kata lelaki itu membuatkan perasaannya terpaut.
Malah menurutnya, anak-anak juga merestui hubungan yang akhirnya membawa ke jenjang pelamin.
"Mungkin senyuman, satu. Yang kedua, mungkin dia suka buat pick up line. Pick up line dia paling power.
"Anak-anak semua okay. Walaupun mereka tidak jumpa, anak-anak kata… nampak mak happy pun mereka dah rasa happy.
"Maksudnya dia (Zainal Abidin) orang yang baik sebab berjaya buat mak happy," kongsinya.
Sejak berpisah pada 2023, Fauziah bersyukur akhirnya dipertemukan dengan Zainal sebagai pasangan hidup.
"Alhamdulillah syukur, seronok apabila sudah ada teman. Sebelum ini dua tahun lebih juga single.
"Sekarang sudah ada orang untuk lawan bercakap," katanya lagi.
Dalam pada itu, Zainal pula mendedahkan telah menduda selama lapan tahun sebelum mengambil keputusan menyunting Fauziah sebagai isteri.
Menganggap jodoh pertemuan adalah aturan ALLAH, beliau bersyukur diberi peluang menumpukan kepada membesarkan cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu.
"Saya sehingga ke hari ini susah untuk menerangkan apa yang menarik hati tetapi ALLAH yang takdirkan dan oleh sebab itu segalanya jalan dengan lancar.
"Saya single selama lapan tahun dan dalam tempoh itu menjaga dan membesarkan anak.
"Mungkin sekarang rasa sudah tiba masanya. Anak yang paling kecil sudah di Tingkatan Satu dan sudah boleh menerima orang baharu
"Apabila saya hendak menerima Zie, saya bawa anak berjumpa dan lihat anak serasi.
"Jika dapat dia tapi hilang anak tiada gunanya juga. Jadi bila anak dan keluarga setuju dan suka kepada Zie (perkahwinan diteruskan). Mungkin mereka kini lebih suka Zie daripada saya," selorohnya.
Dalam pada itu, Fauziah sempat menitipkan nasihat agar realistik dan matang tentang hubungan. Kongsinya, perkahwinan adalah saling menerima kelebihan dan kekurangan diri pasangan.
"Untuk mengenali seseorang, sebenarnya selama mana pun kita hidup bersama, kita tetap tidak akan benar-benar mengenalinya sepenuhnya.
"Jadi, bagi saya, biarlah kita saling menerima segala kebaikan dan kekurangan. Dalam rumah tangga, itulah yang paling penting," tuturnya.
Fauziah dan Zainal selamat diijab kabul pada Sabtu lalu.
Untuk rekod, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk ND Lala namun disahkan bercerai pada 2 Ogos 2023.
Daripada perkahwinan yang yang berusia 34 tahun itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Sumber: Instagram Media Hiburan