PENYANYI Amira Othman terus menjadi perhatian peminat dan pengikutnya selepas tular sekeping gambar yang menunjukkan dia sedang menerima rawatan di hospital, baru-baru ini. Spekulasi mula tercetus, malah ada yang membuat andaian bahawa pelantun lagu Rasa dan Takdir itu sedang berbadan dua.
Menjawab segala desas-desus, Amira memberitahu dirinya ditahan di wad kerana mengalami radang pada salur bronkus dalam paru-paru atau bronkitis.
"Alhamdulillah beransur pulih tapi belum sembuh sepenuhnya. Saya sebenarnya ditahan di wad kerana bronkitis.
"Sebenarnya ini merupakan kali kedua saya terkena bronkitis. Ya lah, kita tidak tahu keadaan sekeliling dan setiap hari keluar.
"Benda yang sudah hendak jadi. Apa pun keadaan saaya sudah beransur pulih cuma masih batuk, ambil masa untuk baik," tutur isteri Fattah Amin itu.
Mengulas lanjut mengenai detik dia dikejarkan ke hospital yang mencetuskan pelbagai andaian, Amira mendedahkan perkara itu berlaku kerana dirinya sukar bernafas dan mempunyai jadual penerbangan ke Korea yang perlu dipenuhi.
Ketika ditebak soalan sama ada sudah berbadan dua, Amira memohon doa daripada para peminat.
"Hari itu (ditahan) adalah disebabkan kerana bronkitis. Saya sukar bernafas ketika itu namun dijadualkan ke Korea.
"Jadi saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun keadaan saya tidak mengizinkan (untuk ke sana).
"Malah doktor pun tidak menasihatkan untuk ke sana. Itulah punca saya ke hospital sebenarnya," kongsinya.
Pada masa sama, wanita itu memohon doa yang terbaik daripada para peminatnya dan menegaskan tidak kecil hati dengan spekulasi yang timbul.
Bagi Amira, perkara seperti itu adalah lumrah dalam kehidupan seorang selebriti.
"Benda baik kita aminkan. Biasalah belum kahwin tanya bila nak kahwin, apabila sudah berkahwin ditanya bila hendak ada anak. Bila ada anak pertama, ditanya anak kedua.
"Saya rasa itu lumrah, tiada apa yang perlu saya ambil hati atau berkecil hati.
"Mudah-mudahan doa itu ALLAH kabulkan. Doa kalian kita aminkan sahaja, saya tidak ambil hati," katanya.
Terdahulu, Fattah dan Amira diijab kabul pada 14 September di sebuah hotel di Sepang, Selangor.
Sumber: TikTok Gempak