Dari legasi nenek ke cawan kopi, Gisomo penuhi cita rasa masa kini dengan sentuhan Pantai Timur

Iklan

DI tengah suasana hijau dan tenang Tamarind Square, Cyberjaya, muncul sebuah kafe gaya hidup baharu yang semakin menjadi tumpuan pelajar, pekerja kreatif dan profesional muda. 

Dikenali sebagai Gisomo, kafe tersebut diasaskan oleh Syailah Kamaruzaman, yang juga anak kepada penulis lagu terkenal negara, Lan Laga atau nama sebenarnya Kamaruzaman Husain.

Iklan
Iklan

Pada majlis pelancarannya baru-baru ini, Gisomo turut menerima Sijil Cap Dagangan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekali gus menandakan pengiktirafan rasmi terhadap identiti dan jenama yang sedang berkembang ini.

Iklan

Menurut Syailah, nama Gisomo sendiri lahir daripada akar keluarganya. Katanya, nama itu diinspirasikan daripada perkataan Gi Sokmo dalam dialek Kelantan dan Terengganu, negeri asal ibu bapanya. 

“Mak saya orang Kelantan, ayah saya orang Terengganu. Jadi dari situ terwujudlah nama Gisobu, dan akhirnya jadi Gisomo,” jelasnya.

Iklan

Perjalanan awal kafe itu bermula sangat sederhana. Pada Ogos 2024, ia beroperasi sebagai The Bru, sebuah cart kopi kecil yang bergerak di acara komuniti dan tepi jalan. 

Sambutan luar biasa mendorong Syailah untuk membuka sebuah ruang tetap yang lebih terancang dan mempunyai identiti visual tersendiri. 

Dedikasi untuk arwah nenek

Kini, Gisomo tampil sebagai kafe gaya hidup yang menggabungkan kopi berkualiti, ruang santai dan hidangan kreatif Melayu–Barat untuk komuniti Cyberjaya yang semakin berkembang.

Namun, apa yang menjadikan ia benar-benar istimewa adalah nilai sentimental di sebaliknya. 

Gadis berusia 29 tahun itu mendedikasikan kafe tersebut kepada arwah neneknya, seorang wanita yang bukan sahaja rapat dengannya, tetapi juga menjadi pendorong utama dalam perjalanan F&B.

 “Arwah nenek saya ni, seorang yang sangat rapat dengan saya. Dia memang usahawan. Satu ayat yang saya pegang daripada dia sampai sekarang ialah ‘Never too late to start’. Pada usia 89 tahun pun, dia masih mengurus villa di Langkawi seorang diri,” katanya.

Dia turut berkongsi bagaimana neneknya tidak pernah berhenti mencari peluang baharu dalam perniagaan meskipun sudah selesa. 

“Dia suka buat macam-macam,  manik baju, hasil tangan… dia tak pernah berhenti. Dia memang menjadi inspirasi dan sebab kenapa saya masuk bidang ini," ujarnya.

Berkongsi lanjut tentang kafe miliknya, sentuhan tradisi dan kreativiti terserlah melalui pilihan hidangan yang unik. Antara tarikan utamanya termasuk Tart Lompat Tikam yang diinspirasikan daripada pencuci mulut Pantai Timur, selain Keropok Lekor dan Nasi Ulam yang menjadi antara menu signatur. 

Beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam, Syailah turut memperkenalkan dua minuman botol popular, iaitu Gisomo Spanish Latte dan Gisomo Caramel Latte, yang kini menjadi pilihan ramai pelanggan. 

Bagi Syailah, impian utamanya ialah menjadikan Gisomo sebagai ruang komuniti yang hidup, tempat orang berkumpul, bekerja, berkarya dan menikmati kopi yang baik dalam suasana santai. 

Dengan dekorasi moden, pencahayaan lembut dan ruang yang bersahaja, Gisomo menawarkan pengalaman yang serasi dengan gaya hidup urban masa kini. 

Melihat potensi yang semakin berkembang, anak bongsu tersebut turut merancang untuk membawa Gisomo ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.