Mr E 'Cinta Abadi' Erra Fazira, bakal bernikah selepas setahun kenal: 'Harapan saya? No limit, harap yang terbaik dan penutup...'

Iklan

SELEPAS setahun mengenali hati budi, pelakon dan penyanyi tersohor, Erra Fazira, mengumumkan bakal menamatkan zaman solo bersama pilihan hatinya, Ezwan Zain, pemilik rangkaian restoran Kueh, pada 12 Disember ini.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata dalam nada sebak, dia memohon doa yang baik-baik daripada semua pihak agar majlis pernikahannya dipermudahkan.

Iklan
Iklan

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang pada 12 Disember bersamaan Jumaat, saya menjemput rakan media dan semua untuk terus mendoakan agar majlis pernikahan saya berlangsung dengan penuh keberkatan,” katanya.

Iklan

Keputusan perkahwinan itu dianggap tepat pada masanya kerana kedua-dua pihak telah lama hidup solo. Erra berkata Mr. E sudah hidup solo selama lapan hingga sembilan tahun, dan masing-masing sudah rasa selesa.

Namun, fitrah manusia pada usia ini mahu berteman, dan biarlah hubungan itu dibina dengan cara yang betul dan diredai.

Iklan

“Kami bukan dalam situasi terdesak mencari pasangan, tetapi lebih kepada memikirkan jangka masa panjang untuk berteman dan mempunyai kawan bicara di hari tua.

"Anak-anak juga telah besar, jadi semua aspek itu dipertimbangkan,” jelasnya.

Anak tunggal Erra, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun, sementara anak-anak Ezwan, Sophia, juga menyokong penuh keputusan ibu mereka untuk bersatu.

Erra berkongsi bahawa anak-anak kedua-dua belah pihak sangat positif dengan hubungan ini dan mengikuti setiap langkah tanpa sebarang bantahan.

“Dua-dua sangat positif, macam blessed. Mereka follow through apa saja, langsung tiada objection,” katanya.

Tambah hos program Borak Bibir Merah itu lagi, sokongan anak-anak menjadi faktor yang mengukuhkan keputusan pasangan ini untuk melangkah ke jenjang perkahwinan dengan penuh yakin.

Hubungan pasangan tersebut mula dihidu umum selepas pelakon itu memuat naik ucapan berbaur romantis kepada Ezwan pada Januari lalu.

Sejak itu, pasangan ini sering menjadi perhatian peminat dan media, terutamanya selepas pengumuman rasmi mereka untuk menamatkan zaman solo.

Erra menegaskan bahawa keputusan ini bukan sekadar ikut arus atau tekanan masyarakat, tetapi datang daripada kesedaran dan kematangan untuk memilih teman hidup di usia matang.

“Tak perlu tunggu yakin sepenuhnya, kerana mungkin akan banyak bisikan menakutkan.

"Yang penting, buat dengan cara yang betul, yang direstui. Semoga ada keberkatan di situ,” luahnya.

Sebelum ini, Erra pernah melalui beberapa episod perkahwinan yang mendapat perhatian ramai. Dia pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun perkahwinan itu berakhir pada 2006 tanpa dikurniakan cahaya mata.

Selepas itu, wanita berusia 51 tahun itu bertemu jodoh pula dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 dan bercerai pada 18 Februari 2014, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya.

Kini, dengan pengalaman lalu, Erra menegaskan bahawa keputusan perkahwinan ini diambil dengan penuh pertimbangan dan bukan kerana desakan atau tekanan.

Pada majlis yang sama, primadona filem Melayu itu juga mengumumkan berita gembira kepada peminat industri muzik apabila kembali merakamkan semula lagu klasiknya, ‘Cinta Abadi’, yang pertama kali diterbitkan pada 1993.

Lagu nukilan Razman dengan lirik oleh Habshah Hassan ini diangkat dalam versi 2025, termasuk versi piano yang memberikan sentuhan emosi berbeza untuk pendengar.

Projek tersebut dikendalikan oleh pengurusan Erra, MindOrder Sdn Bhd, dan bertujuan sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sekian lama menanti karya terbaru penyanyi itu.

Erra menyifatkan lagu ini sebagai titik permulaan kepada karier nyanyiannya, yang melonjakkan namanya dalam industri muzik tempatan.

“32 tahun usia lagu ini. Siapa sangka, ia sudah berlalu lebih tiga dekad, namun setiap momen ketika merakamkan lagu ini masih saya ingat dengan terperinci.

"Rasa seram sejuk ketika pertama kali ke studio rakaman di Singapura masa itu.

"Saya masih berusia 19 tahun dan sangat gugup,” katanya.

Rakaman semula lagu ini juga disertai dengan penggambaran video muzik di sekitar Hotel Royal Chulan Cherating Villa & Chalet, turut menampilkan penyanyi Naqiu, dengan tajaan Pos Malaysia.

Erra menambah, video muzik itu menampilkan pemandangan pantai waktu senja, menghasilkan mood romantik dan visual yang indah untuk peminat.

Versi digital ‘Cinta Abadi 2025’ boleh didengarkan di semua platform bermula 28 November 2025.

Dengan persiapan majlis perkahwinan yang lancar, sokongan anak-anak dan insan tersayang, serta pelancaran versi baru lagu ikoniknya, Erra kini melangkah ke fasa baharu kehidupannya dengan penuh keyakinan dan harapan.

“Harapan saya? No limit. Mengharapkan ini yang sebaik-baik, yang terindah, penutup… segala-galanya yang indah-indah,” luahnya penuh sebak, menandakan lembaran baharu yang akan dimulakan pada 12 Disember ini.