SEJAK kecil lagi, Muhammad Adam sudah menonjol dengan disiplin dan ketekunan luar biasa. Hafiz 30 juzuk ini bukan sekadar cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki keperibadian yang sopan, tenang dan beradab iaitu ciri yang semakin jarang ditemui dalam kalangan remaja hari ini.
Nama Adam mula menjadi tumpuan apabila Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkongsi kisahnya di media sosial.
Meraih 16,000 tanda suka, remaja bagi menyerahkan surat rayuan untuk menyertai Program Latihan Juruterbang Malaysia Aviation Group (MAG).
Latar belakang Adam sebagai lepasan Maahad Tahfiz Negeri Pahang menjadikan hidupnya terikat dengan al-Quran.
"Saya sempat tebuk beberapa ayat al-Quran dari surah al-Baqarah untuk menguji hafazan beliau.
"Masya-ALLAH, jelas terpancar kesungguhan, kelancaran bacaan dan adab seorang hafiz," kongsinya.
Apa yang lebih menarik, Adam menolak beberapa tawaran tajaan besar termasuk daripada Petronas. Alasannya dia mahu mengejar cita-cita sebenar dalam bidang penerbangan.
Menjadi juruterbang adalah impian sejak kecil dan Adam sanggup mengutamakan minat tulen berbanding laluan yang lebih mudah atau lebih ‘selamat’.
Kehadiran ibunya bersama-sama, bukan sekadar menemani anak tersayang menghantar surat rayuan itu, tetapi melambangkan sokongan kuat keluarga dalam membina masa depan Adam. Doa seorang ibu menjadi pendorong besar agar impian anaknya tidak terhenti di tengah jalan.
Melihat kesungguhannya, Dr Asyraf berjanji membawa rayuan tersebut ke Jawatankuasa Sektor Pendidikan MARA untuk pertimbangan sewajarnya.
"Insya-ALLAH, saya akan membawa rayuan ini ke Jawatankuasa Sektor Pendidikan MARA untuk pertimbangan sewajarnya.
"MARA sentiasa komited menyokong usaha melahirkan generasi huffaz profesional yang bukan sahaja hebat dalam akademik, tetapi juga berakhlak tinggi dan hebat dalam bidang ukhrawi.
"Semoga ALLAH permudahkan urusan Adam dan seluruh anak-anak muda yang sedang mengejar impian mereka demi masa hadapan yang cerah. Sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakal dalam mengejar cita-cita masing-masing agar berjaya dalam membina masa depan yang lebih cemerlang di dunia dan diakhirat," kongsinya.
Kisah Adam cepat tular. Ribuan warganet membanjiri ruangan komen dengan doa dan kata-kata semangat.
Ramai mengakui tersentuh melihat kesepadanan antara hafazan al-Quran, keputusan akademik cemerlang dan keberanian Adam membuat pilihan sendiri.
Pengorbanannya menolak tawaran besar semata-mata demi minat murni sebagai juruterbang membuka mata ramai bahawa kejayaan bukan hanya tentang keputusan peperiksaan, tetapi kekuatan jiwa, prinsip dan hala tuju hidup.
Dalam hantaran itu, ramai turut berharap agar Adam diberikan peluang kerana negara memerlukan lebih ramai profesional berintegriti, mempunyai akhlak yang terpuji dan memelihara nilai ukhrawi. Adam menjadi contoh bahawa gabungan ilmu dunia dan ilmu akhirat mampu melahirkan generasi huffaz profesional yang dibanggakan.
Dr Asyraf menutup perkongsiannya dengan doa agar segala urusan Adam dipermudahkan dan menjadi inspirasi kepada anak muda lain. “Sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakkal,” tulisnya nasihat yang mengetuk hati ribuan pembaca.
Langkah Adam mungkin baru bermula, tetapi kisahnya sudah menyentuh banyak hati.
Mana tahu suatu hari nanti, hafiz muda ini akan menerbangkan pesawat sendiri, membawa nama keluarga dan negara ke puncak kejayaan.