MENGEKALKAN hafazan al-Quran dalam masa yang sama mencapai kecemerlangan akademik adalah kejayaan yang membanggakan. Tahniah diucapkan buat Ainin Saheela Anuar yang merangkul Anugerah Pelajar Cemerlang Perempuan Darul Quran baru-baru ini.
Ainin yang merupakan pelajar Syukbah Qiraat yang mencatat kejayaan apabila menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh hanya tujuh bulan dengan jumlah 10 kali khatam. Bukan calang-calang ya!
Keupayaan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan daya hafazan, malah menggambarkan tahap disiplin dan istiqamah yang tinggi apabila dia konsisten mengulang sekurang-kurangnya lapan juzuk sehari sebagai amalan murajaah!
Dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Kategori Pelajar Perempuan), hasil kecemerlangan luar biasa dalam hafazan, akademik dan penglibatan aktif dalam kepimpinan dan kokurikulum, Ainin yang diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan al-Quran Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat 2026 baru-baru ini juga meraih keputusan luar biasa dalam akademik.
"Seiring keupayaan dalam hafalan, dia mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) semasa 3.99, manakala Purata Nilai Gred (GPA) Hafazan Syafawi dan Tahriri kekal pada tahap 4.00 secara konsisten dari semester satu hingga semester lima.
"Pencapaian ini menyerlahkan kemampuan dia mengimbangi tuntutan hafazan dan akademik secara seiring dan berkesan," kongsi Darul Quran dalam kenyataan.
Ainin juga berkongsi rahsia mengekalkan hafazan dengan mengamalkan murajaah secara berkala tanpa pernah meninggalkan ulang kaji walaupun sehari.
"Bermula dengan jumlah kecil sebelum meningkat secara berperingkat, dia memastikan setiap juzuk benar-benar kukuh sebelum beralih ke juzuk seterusnya, di samping membiasakan diri bertasmik bersama orang terdekat bagi menyemak dan memperbaiki bacaan.
Dalam pada itu, bekas pelajar sekolah Agama Menengah Hulu Langat dalam Aliran Dini Tulen itu juga berkongsi rahsia kecemerlangan akademik.
"Fokus sepenuhnya semasa pengajaran di dalam kelas, bertanya terus kepada pensyarah sekiranya kurang faham dan mengelakkan amalan belajar saat akhir. Nota disediakan lebih awal, manakala minggu peperiksaan hanya dimanfaatkan untuk ulang kaji.
"Antara subjek paling mencabar ialah Bahasa Inggeris, namun kelemahan tersebut diatasi melalui latihan berterusan dalam penulisan esei dan tatabahasa," kongsinya.
Sokongan padu daripada ibu bapa dan guru turut menjadi tulang belakang kepada kejayaan , tokoh hafizah muda ini di samping dorongan berterusan daripada rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan moral dan semangat.
Ainin yang berjaya menamatkan Perujian Syahadah peringkat Darul Quran turut menerima Sijil Syahadah pada majlis yang sama sekali gus melengkapkan pencapaian akademik dan hafazan sepanjang tempoh pengajian.
"Kepada rakan-rakan, terus bersemangat mengejar kejayaan tanpa membandingkan diri dengan orang lain, sebaliknya menilai kemajuan diri sendiri dari masa ke masa. Setiap langkah kecil yang diambil hari ini akan membentuk kejayaan pada masa hadapan," ujarnya.
Dengan cita-cita untuk menjadi guru al-Quran, Ainin berharap dia terus dahagakan ilmu dan berusaha menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat agar al-Quran terus terpelihara dan hidup di dalam dada generasi seterusnya.
Kejayaannya membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan hafazan mampu digapai seiring dengan disiplin serta istiqamah. Pencapaian ini wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
Sumber: Facebook Darul Quran