Ismail Sabri lulus viva PhD usia 65 tahun, dedah strategi Malaysia tangani Covid-19. 'Alhamdulillah sampai ke peringkat akhir'

Iklan

PADA usia 64 tahun, siapa sangka mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali ke kampus sebagai seorang pelajar. 

Lebih membanggakan, bekas Perdana Menteri itu kini selangkah lagi dengan gelaran doktor apabila berjaya melepasi sesi viva voce bagi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan hanya pindaan kecil.

Iklan
Iklan

Apa yang menarik, kajian yang dibentangkan Ahli Parlimen Bera itu bukan sekadar teori di atas kertas. Tajuk tesisnya Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan Tahun 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik Covid-19 yang sangat dekat dengan realiti pernah dilaluinya ketika menerajui negara dalam tempoh pandemik.

Berita kejayaan itu dikongsikan menerusi media sosial UUM yang turut memuat naik beberapa keping foto Ismail Sabri sebaik sahaja selesai sesi viva. Jelas terpancar kelegaan dan kepuasan di wajah beliau selepas melalui proses akademik yang mencabar.

Iklan

"Sesi viva voce PhD yang berlangsung di Bilik Viva, Ghazali Shafie Graduate School of Government pagi tadi dipengerusikan oleh Prof Madya Dr Kamarul Azman Khamis. 

"Pemeriksa luar ialah Prof Datuk Dr Sivamuragan Pandian manakala pemeriksa dalaman ialah Prof Madya Dr Nazariah Osman. Bagaimanapun, kelulusan penuh masih tertakluk kepada keputusan Senat Universiti," kongsi hantaran itu.

Iklan

Artikel berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri menerusi Instagram menitipkan kesyukuran perjuangan akademiknya hampir dengan penghujungnya.

"Terima kasih kepada para panel dan pemeriksa yang turut memberi cadangan untuk penambahbaikan kepada kajian saya ini.

"Terima kasih juga kepada warga UUM, keluarga, sahabat dan rakan-rakan media sosial yang turut mendoakan saya sebelum ini," kongsinya.

Sebelum ini, pada Februari 2024, Ismail Sabri pernah berkongsi bahawa beliau tidak pernah menyangka akan kembali bergelar pelajar pada usia emas. Namun, keazaman untuk menimba ilmu jelas mengatasi segala kekangan usia dan masa.

Di ruangan komen, warga maya tidak ketinggalan mengucapkan tahniah. Ramai berpendapat pemilihan tajuk tesis itu amat tepat, memandangkan pengalaman sebenar beliau mentadbir negara ketika dunia dilanda krisiskesihatan global.

Sekadar rekod, beliau terdahulu menjawat potfolio Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), (Kluster Keselamatan) dan Timbalan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada tahun 2022.

Ismail Sabri yang juga bapa kepada penyanyi Dafi dan usahawan terkenal Nina Sabrina memiliki Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya dan pernah bertugas sebagai peguam. 

Perjalanan akademik terbaharunya ini membuktikan bahawa menuntut ilmu tidak pernah mengenal titik noktah. Semoga ia menjadi inspirasi buat semua!