KEHADIRAN seorang cahaya kecil dalam hidup pasti mengubah segalanya, begitu juga bagi pelakon popular Datin Intan Najuwa.
Luahan hati ibu muda itu menerusi hantaran terbaharu di Instagram menyentuh ramai. Dia berkongsi rasa syukur dan cinta terhadap puteri sulungnya, Imane Lunara, yang genap setahun baru-baru ini.
Pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu, mengakui setiap detik bergelar ibu adalah pengalaman yang tidak ternilai.
“Hari ini awak genap 1 tahun, dan ibu masih tak dapat faham bagaimana masa bergerak begitu pantas, namun mengubah hidup kita sepenuhnya,” tulisnya.
Menurut pemilik nama sebenar, Intan Najuwa Abdul Wahid, detik pertama memeluk Imane Lunara seolah-olah mengubah seluruh dunianya.
Dalam hantaran itu, Intan Najuwa turut menzahirkan betapa puteri kecilnya menjadi sumber inspirasi dan kebahagiaan dalam keluarga.
“Imane Lunara ibu, awak adalah cinta yang menulis semula hidup kita.
"Awak mengisi hari-hari kita dengan makna, kehangatan dan jiwa kita dengan kebahagiaan yang sebelum ini tidak pernah dirasai.
"Setiap senyuman awak melembutkan hati yang penat dan setiap gelak tawa mengingatkan kita mengapa cinta adalah hadiah terindah,” tulisnya lagi dengan penuh emosi.
Tambahnya lagi, sepanjang setahun lalu, si kecil itu banyak mengajar erti cinta yang sebenar, sabar, tanpa syarat dan tidak berbelah bahagi.
“Melalui malam-malam yang sunyi dan gelak tawa yang riuh, awak menjadi kekuatan ibu tanpa sedar.
"Menyaksikan awak membesar adalah perjalanan paling indah dalam hidup ibu,” luahnya.
Pada masa sama, Intan tidak ketinggalan menzahirkan rasa kagum terhadap suaminya, yang turut jatuh cinta dengan puteri mereka dari saat pertama kali melihatnya.
“Dia jatuh cinta dengan awak jauh sebelum dia memeluk awak. Awak adalah kebanggaan terbesarnya, tempat paling selamat baginya dan cinta yang melembutkan hatinya dengan cara yang tiada siapa lain boleh lakukan.
"Walaupun di hari-hari paling sukar, kehadiran awak memberinya ketenangan, tujuan, dan alasan untuk tersenyum,” kongsi ibu berjiwa lembut itu.
Kehadiran Imane Lunara bukan sahaja menghidupkan rumah tangga mereka, malah menjadikan kehidupan pasangan ini lebih bermakna.
“Awak mengubah rumah kita menjadi sebuah rumah yang sebenar, hari-hari kita menjadi bermakna, dan hati kita menjadi lebih penuh daripada yang pernah kita bayangkan.
Menjadi ibu bapa awak adalah penghormatan terbesar kami dan mencintai awak akan sentiasa menjadi perkara termudah yang kami lakukan,” tambahnya lagi.
Mengakhiri luahan hatinya, wanita berumur 28 tahun itu menulis dengan penuh kasih sayang ungkapan istimewa buat sang puterinya.
“Selamat ulang tahun pertama, Imane Lunara ibu yang berharga.
"Awak akan sentiasa menjadi cinta pertama ibu dan ayah, kegembiraan kami, cahaya kami, dan selamanya kami," ungkap Intan lagi.
Hantaran ini nyata menyentuh hati ramai pengikutnya, yang turut mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan keluarga kecil ini.
Tidak dapat dinafikan, kehadiran seorang cahaya kecil memang mampu mengubah dunia seorang ibu dan Intan Najuwa membuktikan bahawa cinta seorang ibu adalah anugerah yang paling berharga.