Dari universiti kehidupan ke pentas dunia, Mila Jirin terima Anugerah Antarabangsa Oxford Centre for Leadership – 'Mak ayah senyum bangga'

Iklan

ADA kejayaan yang lahir daripada luka, jatuh bangun dan keberanian untuk terus melangkah walau laluan hidup tidak pernah lurus.

Itulah kisah yang kini mengangkat nama penyanyi dan usahawan, Mila Jirin, apabila menerima pengiktirafan antarabangsa Ductus Exemplo Award daripada Oxford Centre for Leadership, United Kingdom pada 14 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Pengiktirafan itu bukan sekadar simbol kejayaan, sebaliknya menjadi bukti bahawa perjalanan hidup yang jujur, konsisten dan berprinsip mampu diiktiraf di pentas dunia, walaupun tanpa latar pendidikan formal di universiti.

Bekas juara Akademi Fantasia musim kelima itu berkongsi detik penuh makna berkenaan menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Iklan

Hantaran tersebut nyata menyentuh hati ramai, khususnya mereka yang pernah berasa rendah diri atau tertinggal kerana tidak mengikut laluan kehidupan yang ‘konvensional’.

Menurut Mila, pengiktirafan berprestij itu membawa makna yang cukup besar buat dirinya kerana beliau tidak pernah berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading seperti yang diimpikan suatu ketika dahulu.

Iklan

“Saya tak pernah masuk universiti. Itu ayat yang selalu saya simpan dalam hati. Bukan sebab malu, tapi sebab ia satu impian yang tak pernah sempat saya capai,” tulisnya dengan penuh kejujuran.

Bagaimanapun, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, percaya setiap individu mempunyai laluan pembelajaran yang berbeza.

Universiti  kehidupan

Walaupun tidak menjejakkan kaki ke universiti, wanita berusia 37 tahun itu menganggap perjalanan hidupnya sebagai sebuah ‘universiti kehidupan’ yang sarat dengan pelajaran tentang disiplin, kegagalan, kecekalan dan keberanian.

“Hari ini, saya berdiri menerima Ductus Exemplo Award daripada Oxford Centre for Leadership, United Kingdom.

"Ironinya, saya sampai ke sini tanpa pernah menjejakkan kaki ke universiti,” kongsinya lagi.

Bekas juara Akademi Fantasia musim kelima itu turut menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai bukti bahawa usia, latar belakang dan masa lalu bukan penghalang untuk seseorang terus belajar dan mengejar impian.

Bagi Mila, setiap kejatuhan yang pernah dilalui menjadi proses membentuk jati diri dan kekuatan dalaman.

Menurutnya, pengalaman hidup, kegagalan dan usaha berterusan adalah guru terbaik yang mengajar erti kepimpinan, ketabahan serta keyakinan untuk bangkit semula selepas diuji.

Antara detik paling menyentuh hati buat Mila ialah apabila melihat kedua ibu bapanya berada di sisi pentas pada hari bersejarah itu.

Wajah bersinar dan senyuman penuh bangga mereka menjadi hadiah paling bernilai atas segala pengorbanan dan perjuangan yang dilalui selama ini.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan suami tercinta yang sentiasa percaya dengan perjalanan hidup serta impiannya sejak dari awal, walaupun laluan tersebut penuh ketidaktentuan.

“Hari ini, saya mula percaya kata-kata itu. Dan hari ini juga saya sedar sesuatu, pengalaman hidup ini bukan sekadar untuk disimpan sebagai cerita peribadi. Ia perlu dikongsikan,” tulisnya.

Mila Jirin turut menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman sebenar yang dilaluinya bersama mereka yang sedang membina kehidupan dari bawah, khususnya golongan yang pernah berasa tertinggal, lelah dan hampir berputus asa.

“Ini bukan pengumuman. Ini cuma permulaan. Tunggu saya. Kita akan belajar, berjalan dan bangkit bersama-sama. Alhamdulillah. Terima kasih ALLAH,” katanya lagi.